Kenapa bukan Anwar Ibrahim?


MELIHATKAN sentimen tidak puas hati terhadap Muhyiddin Yassin, seseorang mungkin menganggap ketua pembangkang Anwar Ibrahim akan mendapat sokongan menyeluruh untuk menggantikan perdana menteri yang tidak popular. Walau bagaimanapun, kelihatannya tidak begitu.

Dr Mahathir Mohamad membawa Anwar masuk ke dalam UMNO, memintas ramai lagi untuk menjadi timbalan perdana menteri sebelum dipecat pada 1998 atas tuduhan liwat dan salah guna kuasa.  

PKR kemudiannya ditubuhkan sebagai saluran untuk reformasi. Prospek sebuah parti berbilang  kaum sangat menarik, dan laungan “Reformasi” menarik perhatian ramai. Kejayaan PKR yang ada pada hari ini adalah kerana ramai ahli yang berkorban besar untuk parti. Walau bagaimanapun, gaya kepimpinan Anwar telah memecah-belahkan dan menyebabkan kesusahan dalam parti.  

Apabila pembangkang yang diketuai Anwar memenangi Selangor pada 2008, Anwar dengan sewenang-wenangnya memilih seorang tokoh korporat dari luar parti, Khalid Ibrahim, untuk menjadi menteri besar. Tindakan ini menyebabkan ramai tidak puas hati dalam PKR. 

Ini adalah titik permulaan perpecahan dalam parti selama bertahun-tahun. Perpecahan ini bertambah rumit dan menyebabkan PKR dibahagikan kepada pelbagai puak, yang merupakan rahsia terbuka. 

Walaupun terdapat rasa tidak puas hati yang serius terhadap kepimpinan Anwar, dengan sewenang-wenangnya, pada tahun 2013, Anwar tanpa berunding terlebih dahulu dengan kepimpinan parti yang dipilihnya, menjadikan Khalid MB sekali lagi untuk penggal kedua pada 2018. 

Ahli-ahli PKR dari akar umbi yang sudah lama berbakti dalam parti cuba memberi gambaran penampilan bersatu walaupun keputusan yang mengejutkan ini. Tetapi dalam masa yang singkat, ia tidak dapat dipertahankan.

Jelas, Khalid perlu undur dan digantikan. Penyelesaiannya ialah Langkah Kajang.  

Rancangan asal ialah Anwar akan bertanding di kerusi DUN Kajang, untuk membolehkannya  menjadi pengganti kepada Khalid sebagai MB. 

Walau bagaimanapun, rancangan itu gagal apabila jelas bahawa terdapat banyak halangan untuk tindakan ini. Isterinya Wan Azizah Wan Ismail kemudian dipilih untuk menjadi calon di Kajang.

Walaupun menang, Wan Azizah kelihatan tidak boleh diterima untuk menjadi pengganti menteri besar. 

Parti itu kemudiannya menghadapi satu lagi krisis serius yang disebabkan oleh gaya kepimpinan Anwar yang ‘cuai’. Keputusannya yang kurang bijak dan dibuat tanpa rundingan terlebih dahulu dengan  kepimpinan parti, menyebabkan kekecohan dalam parti. 

Ahli akar umbi mengalami  kekusutan akibat daripada keputusan yang buruk ini. 

Syukurlah, suatu penyelesaian untuk mengatasi masalah ini diatasi apabila Azmin dilantik sebagai MB selepas rundingan berlarutan dengan parti komponen dalam Pakatan.  

Dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) 2013, ramai ahli akar umbi telah berkorban besar untuk meletakkan calon yang boleh dipercayai untuk PRU. Walau bagaimanapun, beberapa minggu sebelum hari penamaan calon, Anwar telah menggantikan ramai calon yang berpotensi dengan pilihan peribadinya. 

Kejutan pada saat akhir ini menyebabkan kemelut yang mendalam. Ada kerusi dipercayai boleh dimenangi sekiranya tiada perubahan pada saat terakhir ini. 

Oleh itu, apabila tiba masanya PRU 2018, ramai berharap peristiwa saat  teŕakhir ini tidak akan berulang. Garis panduan yang jelas telah disediakan untuk memastikan  bahawa kejutan atau “flip-flop” pada saat terakhir ini dielakkan. 

Walau bagaimanapun, senario  terburuk berlaku aoabila calon-calon yang berpotensi yang telah lama bekerja keras di akar umbi selama bertahun-tahun sekali lagi digantikan pada saat-saat akhir. Jelas, Anwar cakap tidak serupa bikin.  

Satu lagi contoh yang jelas mengenai kepimpinan yang arbitrari dan berkontroversi ialah pemilihan dalaman parti pada 2019. 

Pemilihan parti sebelum ini pada tahun 2014 diakui  mengalami huru-hara dan menarik banyak publisiti negatif pada PKR. Anwar kemudian  berikrar bahawa pemilihan pada 2019 akan berjalan lancar, telus, dan sah. 

PKR kemudian melaksanakan satu-ahli-satu-undi melalui pengundian digital. Ini kaedah buat julung kali dalam pemilihan parti di Malaysia. Ramai ahli menyuarakan keraguan tentang kebolehlaksaaan pengundian digital ini. Parti dipercayai belum bersedia untuk kaedah ini. 

Apa yang berlaku adalah senario kes yang paling teruk. Banyak kejadian dan tohmahan huru hara yang berlaku. Banyak aduan dibuat kepada jawatankuasa pemilihan parti ketika pemilihan berlangsung begitu lama, antara empat hingga enam bulan.  

Apabila bukti yang jelas dikemukakan kepada jawatankuasa pemilihan parti terhadap calon-calon tertentu, tiada tindakan yang sewajarnya diambil. 

Ini menyebabkan ramai yang mendakwa  sekali lagi bahawa Anwar tidak mengamalkan apa yang dikatanya sendiri – cakap tak serupa bikin.  Nampaknya unsur pilih kasih diamalkan.  

Kemudian, satu lagi kejutan yang cukup luar biasa telah melanda parti.  

Di cabang Julau di Sarawak, berlaku lonjakan besar-besaran kemasukan seramai 13,000 ahli yang kononnya didaftarkan untuk mengundi selepas tarikh akhir pendaftaran. Oleh itu, kelayakan mereka untuk mengundi adalah dipertikaikan. Amat  keterlaluan! 

Sekali lagi, tindakan yang sewajarnya tidak diambil. 

Yang lebih mencurigakan, isteri Anwar iaitu timbalan perdana menteri secara “kebetulan” muncul di Julau, satu kawasan terpencil di Sarawak! Rupa-rupanya kehadiran beliau adalah untuk berkempen. Keadaan ini sangat bertentangan dengan garis panduan parti!  

Ini juga menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Anwar, yang kelihatan sewenang-wenang dan nepotistik.  

Secara keseluruhan, pemilihan parti ini penuh dengan berbagai kontroversi dalam tempoh empat hingga enam bulan tersebut. 

Walau bagaimanapun semasa pemilihan berlangsung, dan ahli-ahli sedang bergelut dengan banyak isu yang belum diselesaikan di seluruh negara, Anwar tiba-tiba mengumumkan keputusan yang begitu mengejutkan! 

Beliau ingin bertanding menjadi ahli parlimen untuk melayakkan dirinya menjadi perdana menteri! Kerusi Port Dickson dipilih. Ramai mempersoalkan mengapa tidak kerusi isteri atau anak perempuannya sendiri?  

Ahli akar umbi kemudiannya dikehendaki turun ke Port Dickson untuk membantu  kempennya walaupun kontroversi pemilihan parti yang berterusan. 

Ramai yang mempersoalkan mengapa beliau tidak boleh menunggu satu atau dua bulan lagi setelah kian lama menunggu  untuk langkah ini apabila pemilihan parti akan berakhir.  

Sepanjang tempoh pandemik Covid-19, sebagai ketua pembangkang, beliau sepatutnya memberikan kepimpinan yang kuat untuk membantu negara dalam krisis yang melanda negara.  

Semasa Pilihan Raya Negeri Sabah pada September 2020, ramai pemimpin-pemimpin Pakatan turun berkempen untuk Shafie Apdal. Sehari sebelum hari pengundian, Anwar secara mengejut mengadakan satu sidang media mengumumkan “saya ada sokongan”. 

Pengumuman ini sangat menakjubkan dan menghantui beliau sehingga hari ini. Episod ini serupa dengan peristiwa 16 September pada 2008.  

Pada hari pengumuman itu juga, pasaran saham jatuh merudum, dan keesokan harinya Shafie kalah pilihan raya dengan beberapa kerusi. 

Sehingga ke hari ini, kenyataan Anwar bahawa  beliau mempunyai majoriti yang cukup dan meyakinkan tidak terbukti. 

Melalui kejadian itu, PH sepatutnya mencari hidayah dan mendapat pengganti untuk mengelakkan krisis yang dihadapi ketika ini apabila tiada cukup majoriti menggantikan Perikatan Nasional. 

Kepemimpinan Anwar dalam PKR telah dilanda satu krisis demi satu lagi, yang dipercayai menyebabkan parti itu retak. 

Tentangan terhadap kepimpinannya semakin meningkat. Untuk menangani tentangan ini pada sekitar April 2020, beliau memecat beratus-ratus orang ahli tanpa mengikut proses yang sewajarnya. Semua yang dipecat adalah ahli yang bertentangan dengan kepimpinannya, walaupun mereka tidak melanggar peraturan. 

Dalam saat yang genting pada masa ini, wajarkah negara ini memberi kepercayaan kepada seorang pemimpin yang berkali-kali menunjukkan sikap yang kurang bijak? 

Walaupun ada faktor yang memihak kepada beliau, Anwar gagal menyatukan ahli Parlimen untuk mendapatkan sokongan majoriti yang jelas dan meyakinkan sepertimana yang pernah didakwa pada bulan September 2020. 

Jika Anwar seorang yang berhemah, beliau sepatutnya mengakui dengan rendah hati bahawa beliau patut berundur daripada menjadi perdana menteri, memandangkan begitu banyak peluang telah diberikan kepadanya. 

Pada masa yang sama, Pakatan perlu melihat melangkaui Anwar dan secara agresif mengejar satu alternatif baru, mungkin memilih Shafie sebagai pengganti.  

* Tan Poh Lai, anak bongsu tokoh pembangkang Tan Chee Koon.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen