Hendak cari senjata haram, polis Rusia terjumpa buaya besar


Gambar dikeluarkan polis Rusia menunjukkan buaya itu tinggal di dalam kolam berlumpur yang cetek dan gelap. – Gambar AFP, 20 Januari, 2018.

POLIS Rusia yang sedang menggeledah rumah seorang suspek untuk mencari senjata di bandar Saint Petersburg terkejut apabila menemui seekor buaya besar yang tinggal di tingkat bawah bangunan itu, kata polis.

Pegawai ketika itu sedang memeriksa bangunan milik seorang suspek dalam kes pemilikan dan mengedar senjata haram di Petergof.

“Polis menemui seekor buaya di bahagian bawah tanah rumah itu,” kata polis dalam satu kenyataan.

“Tiada kejadian buruk berlaku ketika kerja menggeledah dilakukan.”

Polis berkata perkhidmatan veterinar sedang mencari tempat baharu untuk menempatkan buaya itu.

Gambar dikeluarkan polis menunjukkan haiwan berkenaan tinggal di dalam kolam berlumpur yang cetek dan gelap.

Suhu siang hari sekitar negatif tujuh Celsius di Saint Petersburg dianggap tidak sesuai untuk haiwan berkenaan.

“Buaya itu tinggal di rumah berkenaan sejak 2005 dan ketika itu ia tidak sebesar sekarang,” kata seorang jiran pada stesen televisyen tempatan.

Laman berita tempatan Fontanka melaporkan, buaya spesies Nil itu berukuran kira-kira 2 meter dan pada mulanya ia milik pengendali kelab belia di bangunan berkenaan.

Polis turut menemui barangan seperti peluru yang kemudiannya dihantar untuk analisis sementara suspek berada dalam tahanan. – AFP, 20 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen