Ratusan penunjuk perasaan antisekatan Covid-19 ditangkap di Australia


Ribuan warga Australia di beberapa negeri melepaskan kemarahan dengan berarak memprotes langkah sekatan pergerakan di negara itu, dengan polis menyembur cecair pemedih mata dalam pertempuran ganas dengan penunjuk perasaan. – Gambar EPA, 21 Ogos, 2021.

RATUSAN orang ditangkap setelah berlaku pertembungan antara penunjuk perasaan antisekatan dan polis di dua bandar terbesar Australia pada Sabtu ketika negara itu merekodkan lonjakan mendadak jangkitan harian Covid-19.

Negeri New South Wales di Sydney melaporkan 825 kes, sehari selepas pihak berkuasa melanjutkan sekatan pergerakan hingga September di bandar itu bagi mengekang varian Delta.

“Tidak peduli berapa teruk kami bekerja, tidak kira jika 99% orang buat perkara yang betul, ada unsur varian Delta yang tidak dapat dikawal sesiapa pun,” kata Menteri Besar NSW Gladys Berejiklian kepada media.

“Cara terbaik untuk mendapatkan kebebasan adalah dengan memastikan kita diberi vaksin.”

Wabak yang semakin meningkat di Victoria di Melbourne juga mendorong perintah duduk di rumah dilanjutkan ke seluruh negeri itu pada Sabtu.

Bagaimanapun arahan kesihatan awam Melbourne tidak menghalang ribuan orang melepaskan kemarahan dengan berarak menentang langkah sekatan itu, dengan polis menyembur cecair pemedih mata dalam pertempuran ganas dengan penunjuk perasaan.

Tujuh pegawai cedera dan lebih 200 orang ditangkap dalam tunjuk perasaan “ganas dan menyalahi undang-undang” itu, kata Polis Victoria dalam satu kenyataan.

“Walaupun ada beberapa penunjuk perasaan yang aman hadir, kebanyakan mereka datang dengan niat untuk membuat kekerasan,” kata mereka.

Di Sydney lebih 1,500 polis membanjiri bandar, membuat sekatan jalan raya dan menangkap puluhan orang ketika sekitar 250 penunjuk perasaan berkumpul di sana, kata Polis NSW.

Dilaporkan ramai penunjuk perasaan turut turun ke jalan raya di Brisbane.

Penduduk Sydney diarahkan patuh dengan sekatan pergerakan sejak penghujung bulan Jun, malah sekatan kini menjangkau dua negeri dan ibu negara, memberi kesan kepada lebih 15 juta penduduk.

Australia telah mencatat lebih 42,000 kes dalam 25 juta penduduk sejak pandemik bermula, dengan 974 kematian akibat Covid-19. – AFP, 21 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen