AHMAD Zahid Hamidi hari ini menyeru ahli Umno memperkukuh dan memperhebatkan parti, susulan angkat sumpah jawatan perdana menteri oleh naib presiden Umno Ismail Sabri Yaakob petang tadi.
Presiden Umno mengingatkan ahli-ahlinya Umno adalah parti politik terbesar di Malaysia dengan lebih 3.3 juta ahli dalam 21,883 cawangan.
“Kekuatan ini tidak boleh sesekali tersasar dari landasan perjuangan rakyat dan negara.
“Mari kita bersama menggembleng usaha memacu Umno ke arah kegemilangan dan kejayaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Tambah ahli Parlimen Bagan Datuk itu, perubahan sedang berlaku susulan angkat sumpah jawatan Ismail Sabri sebagai perdana menteri kesembilan hari ini.
“Justeru ayuh kita kembali merapatkan saf perjuangan untuk menempuhi hari mendatang,” katanya.
Sebelum ini, Zahid dan 14 ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadap bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin manakala 23 ahli Parlimen Umno lain bersama dengan Ismail Sabri menyokong kepimpinan Muhyiddin.
Bagaimanapun Muhyiddin akhirnya letak jawatan pada Isnin setelah hilang majoriti, selain tawarannya untuk menubuhkan kerajaan bipartisan ditolak parti pembangkang.
Petang tadi, Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara selepas mendapat sokongan 114 ahli Parlimen.
Pelantikannya itu menandakan pulangnya Umno ke puncak kuasa selepas kalah dalam pilihan raya umum ke-14 pada 2018. – 21 Ogos, 2021.
Komen