Mahkamah AS setuju dengar saman terhadap syarikat pembuat senjata


Mexico mendakwa 70% hingga 90% senjata yang ditemui di lokasi kejadian membabitkan jenayah dadah diseludup masuk dari AS. – Gambar AFP, 21 Ogos, 2021.

MEXICO semalam berkata sebuah mahkamah di Amerika Syarikat (AS) bersetuju mendengar tuntutan samannya terhadap pembuat senjata utama berhubung perdagangan senjata api rentas sempadan yang didakwanya penyebab keganasan berkaitan dadah.

Mahkamah persekutuan di Massachusetts menerima untuk mempertimbangkan tuntutan saman terhadap syarikat “yang bertanggungjawab terhadap perdagangan senjata digunakan penjenayah di sini,” kata Menteri Luar Mexico, Marcelo Ebrard.

“Ini adalah langkah pertama yang baik,” tulisnya di Twitter.

Syarikat yang disebut dalam saman itu, yang difailkan pada 4 Ogos, termasuk Smith & Wesson, Beretta, Colt, Glock, Century Arms, Ruger dan Barrett.

Kesemua syarikat menghasilkan lebih dua pertiga daripada lebih setengah juta senjata yang dibawa secara haram ke Mexico setiap tahun, menurut pihak berkuasa Mexico.

Negara Amerika Latin itu menuduh pengeluar AS membangunkan model senjata api yang berbeza terutama untuk pengedar dadah Mexico.

Antara 70% hingga 90% senjata ditemui di lokasi kejadian di Mexico diseludup masuk dari AS, kata Kementerian Luar Mexico.

Saman itu menuntut ganti rugi atas kerosakan yang disebabkan “amalan kecuaian” yang didakwa dilakukan syarikat tersebut serta pelaksanaan piawaian sewajarnya bagi “memantau dan mendisiplinkan” penjual senjata.

Yayasan Sukan Menembak Negara, persatuan perdagangan industri senjata api AS, mendakwa tuduhan itu “tidak berasas” dan memberitahu kerajaan Mexico yang pihaknya bertanggungjawab terhadap jenayah di dalam wilayahnya sendiri.

Mexico menyaksikan lebih 300,000 pembunuhan sejak 2006 ketika mengerahkan tenteranya memerangi pengedaran dadah, kebanyakannya melibatkan geng penjenayah. – AFP, 21 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen