SEKURANG-KURANGNYA dua kanak-kanak terbunuh dan seorang warga China cedera dalam serangan bunuh diri di selatan Pakistan pada Jumaat, serangan terbaru yang mensasarkan warga China di negara itu, kata pihak berkuasa.
Kejadian itu berlaku di bandar pelabuhan Gwadar, pusat projek infrastruktur China bernilai berbilion dolar dengan lebuh raya sedang dalam pembinaan.
“Sebuah kenderaan membawa pekerja China kembali dari kawasan pembinaan apabila ia menjadi sasaran pengebom bunuh diri,” kata pegawai keselamatan kanan kepada AFP dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.
“Seorang warga China cedera sementara dua kanak-kanak yang bermain di tepi jalan terbunuh,” tambahnya.
Seorang pegawai polis juga mengesahkan serangan dan kematian kepada AFP, sambil menambah seorang lagi kanak-kanak cedera parah.
Keselamatan pekerja warga China sekian lama menjadi isu di Pakistan, dengan sejumlah besar dbawa untuk mengawasi dan membina projek infrastruktur.
Projek yang dibiayai oleh China menimbulkan kebencian, terutama di kalangan kumpulan pemisah, yang berkata penduduk tempatan tidak mendapat keuntungan, dengan kebanyakan pekerjaan diberikan kepada orang luar.
Bulan lalu sembilan warga China terbunuh apabila sebuah bas membawa sepasukan jurutera, juruukur dan kakitangan mekanikal menjadi sasaran pengebom bunuh diri. – AFP, 21 Ogos, 2021.
Komen