KITA harus menerima hakikat tidak akan memiliki kerajaan yang stabil sehinggalah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilaksanakan. Sesuatu yang mustahil diadakan ketika kes baharu harian Covid-19 mencecah lebih 20,000 kes setiap hari.
Setiap kali isu kestabilan kerajaan ini dibincangkan, saya perlu untuk menyebutkan ia berlaku kerana kerajaan telah diubah melalui proses rundingan, bukan pilihan raya.
Norma baharu politik ini menyebabkan kerajaan yang memiliki majoriti yang kecil akan sentiasa berada dalam keadaan terancam.
Disebabkan hal ini kita pernah mendengar audio “scheme of things” tular. Rakaman yang menyebut orang-orang politik harus diberikan pelbagai jawatan lumayan supaya mereka terus menyokong kerajaan.
Ternyata, scheme of things ini gagal. Dengan majoriti 114 ahli Parlimen yang dikatakan dimiliki oleh Ismail Sabri, adakah mungkin kerajaan itu akan stabil?
Politik baharu
Selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA), beberapa ahli politik telah melaungkan agenda politik baharu. Politik baharu ini dikatakan tidak bersifat dendam dan kerajaan-pembangkang akan bekerjasama untuk menangani pandemik.
Selain itu, saya mendengar ada idea kerajaan gabungan antara kerajaan dan pembangkang. Dalam erti kata lain, akan ada ahli politik kerajaan dan pembangkang dalam Kabinet.
Apa jua idea “harmoni” yang cuba digagaskan oleh pelbagai pihak, kita harus bersifat realistik.
Perlumbaan untuk menjadi kerajaan adalah persoalan kekuasaan yang berkemungkinan melahirkan “scheme of things” dalam bentuk baharu.
Ahli-ahli politik akan terus diberikan jawatan-jawatan besar untuk terus menyokong kerajaan. Ruangan demokrasi untuk semak imbang pula sekali lagi berada dalam keadaan yang terancam.
Jika sebelum ini darurat diperkenalkan untuk menutup Parlimen, saya bimbang akan ada kaedah baru yang akan digunakan untuk menutup proses semak imbang ini.
Lebih-lebih lagi jika ia ditutup dengan alasan mengelakkan konflik politik atau kerajaan bimbang kehilangan majoriti.
Politik baharu ini harus mempertingkatkan semak imbang supaya dasar-dasar yang dikeluarkan kerajaan mampu membantu rakyat Malaysia keluar dari pandemik.
Parlimen harus bersidang lebih kerap berbanding sebelum pandemik. Rakyat harus diajar mengkritik kerajaan itu bukan bermaksud mahu menimbulkan konflik atau huru-hara, tapi memastikan kerajaan mengambil pendekatan yang betul dan berkesan.
Sistem pendidikan kita telah gagal mengajar rakyat Malaysia nilai-nilai demokrasi seperti semak imbang, kesan lompat parti, dan Perlembagaan.
Seingat saya, dalam pendidikan Malaysia, hal politik dianggap hal yang sensitif.
Rakyat Malaysia perlu diajarkan peranan Parlimen dan asas-asas negara demokrasi supaya mereka tidak mudah termakan dengan sentimen perkauman dan agama yang kerap dijaja parti politik.
Jika rakyat Malaysia mempunyai pengetahuan demokrasi yang tajam, sudah tentu mereka tidak akan membiarkan kerajaan ditukar melalui rundingan – yang kalah menjadi kerajaan – pada akhirnya menyaksikan Malaysia mempunyai tiga perdana menteri dalam masa kurang dua tahun.
Menjelang PRU15
Bagi mereka yang tidak berfikir terlalu panjang, sudah tentu menjadi kerajaan pada masa ini merupakan satu impian.
Cuma, jika kita benar-benar memikirkan situasi negara pada hari ini, sesiapa sahaja yang menjadi kerajaan pastinya akan menghadapi kesukaran untuk mengatasi masalah-masalah yang timbul akibat pandemik.
Kita bukan sahaja sedang berada dalam krisis kesihatan yang kritikal, keadaan ekonomi negara kita juga sedang tenat.
Mengambil kerajaan ketika krisis ini akan mendedahkan koalisi politik itu terhadap pelbagai kelemahan dan kritikan. Sesuatu yang telah dialami oleh Perikatan Nasional (PN) sejak mereka memerintah.
Keadaan ini akan memberi ruang kepada kumpulan pembangkang untuk mengumpul momentum menjelang PRU15. Mereka pastinya akan memiliki pelbagai bahan propaganda untuk digunakan ketika PRU15.
Bersatu, seperti yang disebutkan oleh beberapa sarjana politik, memiliki masa hadapan yang suram menjelang PRU15. Lebih-lebih lagi setelah kehilangan posisi perdana menteri.
Umno yang dahulunya menjadi “pembangkang dalam kerajaan” kini akan menerajui kerajaan dan peranannya itu akan diganti oleh Bersatu.
Percakaran antara Bersatu dan Umno berkemungkinan akan berlaku semula.
PAS seperti biasa, akan cuba menyokong pasukan yang menang. Jika tidak Muafakat Nasional, maka PN.
Pakatan Harapan pula akan cuba mempertahan koalisi mereka yang sejak akhir-akhir ini menunjukkan tanda-tanda retak.
Kehadiran Warisan dalam pencalonan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri mungkin akan memberi signal yang mereka akan bersama pada PRU15 akan datang.
Beberapa parti-parti kecil yang lain akan terus memerhati dan mengambil peluang bersama pasukan yang menang. – 21 Ogos, 2021.
* Rahman Imuda, pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen