BARU-BARU ini kita dikejutkan dengan pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) secara besar-besaran di Afghanistan setelah hampir dua dekad menduduki negara bekas Soviet Union tersebut.
Penaklukan AS terhadap Afghanistan bermula selepas kejadian serangan pengganas ke atas World Trade Centre pada 11 September 2001 atas alasan negara tersebut melindungi ketua pengganas antarabangsa Osama Bin Laden.
Akhirnya pada 2021, AS keluar dari Afghanistan dalam keadaan yang amat mirip dengan apa yang terjadi di Vietnam pada 1976, iaitu apabila tentera AS berundur disebabkan oleh kemaraan tentera Vietcong (Vietnam Utara) dan terpaksa meninggalkan Saigon (kini dikenali sebagai Bandar Ho Chi Minh) dalam keadaan tergesa-gesa.
Kesan pengunduran dari kedua-dua negara ini juga hampir sama.
Warga Afghanistan sepertimana warga Vietnam Selatan yang selama ini bergantung kepada negara kuasa besar tersebut berada dalam keadaan yang terumbang ambing, dek kerana pertukaran kuasa (power shift) yang berlaku di dalam negara mereka.
Walaupun kita tidak bersetuju dengan langkah imperialis yang dilaksanakan oleh AS, kita juga khuatir akan masa depan Afghanistan, terutamanya bagi golongan wanita yang sebelum ini telah ditindas oleh Taliban.
Setiap negara perlu ditadbir oleh rakyatnya sendiri dan kuasa asing tidak perlu campur tangan dalam pemerintahan sesebuah negara.
Namun, apabila pentadbir sesuatu negara itu memegang ideologi terlalu ekstrem, masyarakat dunia perlu bertanggungjawab dalam memastikan nasib dan hak golongan wanita dan kanak-kanak perempuan di sesebuah negara itu terus terbela.
Kita tidak boleh menafikan Afghanistan yang ditadbir oleh Taliban 20 tahun lalu adalah sebuah pentadbiran yang bersifat jumud dan menolak sebarang bentuk kemajuan, terutamanya dalam hal pembangunan dan pemberdayaan wanita dan kanak-kanak perempuan.
Pada 2002, apabila menyertai misi bantuan ke Afghanistan, saya melihat sendiri keadaan semasa wanita dan kanak-kanak di negara tersebut.
Golongan wanita secara umumnya dianggap sebagai rakyat kelas kedua yang mana hak mereka sering dinafikan oleh pemerintah.
Wanita di Afghanistan (dan juga di beberapa Wilayah di Pakistan yang dikawal Taliban) pada ketika itu bukan sahaja ketinggalan dari sudut ekonomi, tetapi juga langsung tidak diberikan peluang untuk mendapat pendidikan formal dan dinafikan ruang bagi pemberdayaan sosial yang sewajarnya.
Masihkah anda ingat lagi tentang kisah Malala Yousefzai yang ditembak di kepala oleh Taliban?
Beliau diperlakukan sedemikian kerana memperjuangkan hak kanak-kanak perempuan untuk terus mendapat pendidikan secara formal.
Dalam jangka masa 20 tahun Afghanistan ditinggalkan oleh Taliban, kita melihat peluang telahpun dibuka untuk wanita dan kanak-kanak perempuan di sana untuk menimba ilmu dan menceburkan diri dalam pelbagai bidang seperti sains dan teknologi.
Kini Taliban kembali lagi untuk menuntut semula tampuk pemerintahan sebuah negara yang mereka tinggalkan dahulu.
Melalui berita antarabangsa, kita telah pun melihat bagaimana takutnya rakyat Afghanistan yang sebahagiannya berusaha sedaya upaya untuk keluar dari negara tersebut kerana risau akan nasib mereka setelah AS menarik semula semua bantuan dan sokongan yang diberikan sebelum ini.
Namun, mungkin terdapat sedikit sinar harapan untuk kemajuan wanita di rantau tersebut apabila pemimpin Taliban menyatakan pendirian mereka membenarkan kanak-kanak perempuan untuk meneruskan persekolahan, walaupun Taliban telah berkuasa semula.
Nada optimis ini turut mendapat perhatian Unicef, sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang masih lagi beroperasi di Afghanistan.
Kini kita harus melihat sejauh mana komitmen Taliban untuk terus membenarkan perkara tersebut terus dilaksanakan.
Pada ketika ini, masyarakat dunia perlu segera memerhatikan perkembangan yang berlaku di Afghanistan.
Kita harus memastikan kerajaan Taliban tidak lagi melaksanakan peraturan-peraturan ekstrim yang menyekat pembangunan, khususnya kepada wanita dan kanak-kanak perempuan di negara tersebut.
Demi semangat kemanusiaan, nasib dan hak wanita di Afghanistan perlu terus diperjuangkan.
Pihak berkuasa di seluruh dunia secara amnya perlu menyatakan pendirian untuk terus menyokong usaha berterusan demi memastikan Afghanistan tidak lagi terjerumus ke kancah kemunduran akibat pemikiran jumud yang pernah dibawa oleh Taliban sebelum ini.
Saya percaya sekiranya seluruh dunia bersatu hati, kita akan dapat memberi tekanan kepada Taliban untuk tidak lagi mengamalkan peraturan-peraturan lapuk mereka.
Apa yang dilakukan oleh Taliban 20 tahun lepas bukanlah sesuatu yang dianjurkan oleh Islam tetapi langkah yang mereka ambil lebih menjurus kepada budaya lama yang diamalkan oleh penduduk di kawasan tersebut.
Afghanistan yang kini digelar Emiriah Islam Afghanistan oleh pemerintah Taliban perlu dipantau oleh organisasi dunia, terutamanya pertubuhan kerajaan negara Islam seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab dan mana-mana gabungan pertubuhan negara Islam yang lain bagi membawa negara tersebut ke jalan yang betul.
Malah, negara Islam yang progresif di seluruh dunia juga perlu menghantar wakil dalam kalangan pemimpin wanita mereka ke Afghanistan bagi membantu agenda pemberdayaan wanita di negara ini.
Sekiranya berpeluang, saya turut berminat untuk ke sana sekali lagi, kali ini bagi membantu untuk membimbing pemerintah dan rakyat Afghanistan dari segi aspek pembangunan dan pemberdayaan wanita.
Sebagai sebuah negara Islam yang membangun, banyak perkara yang boleh kita kongsikan kepada mereka, terutamanya bagaimana untuk mengoptimumkan peranan wanita dalam pentadbiran, politik, pendidikan, ekonomi dan sosial, yang selari dengan ajaran Islam yang sebenar.
Walaupun usaha untuk mengubah pemikiran mereka sukar, namun kita harus terus mencari jalan agar wanita dan kanak-kanak perempuan di Afghanistan mempunyai peluang untuk memajukan diri mereka demi matlamat untuk mencapai masa hadapan yang lebih baik. – 21 Ogos, 2021.
* Zuraida Kamaruddin, ahli Parlimen Ampang.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen