Peniaga masih bimbang terima pelanggan makan di kedai


Khoo Gek San Bernard Saw

Kebanyakan peniaga makanan memilih untuk menangguhkan perkhidmatan makan di kedai sehingga wabak Covid-19 lebih terkawal dan kemungkinan adanya SOP baharu. – Gambar AFP, 21 Ogos, 2021.

PENGUSAHA perniagaan makanan tidak mahu tergesa-gesa membuka premis mereka walaupun kerajaan sudah membenarkan makan di kedai kepada individu yang mendapat vaksin lengkap di semua negeri di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Jumlah kes harian Covid-19 dan kematian yang tinggi, masih menimbulkan kebimbangan, kata mereka kepada The Malaysian Insight.

Malaysia semalam mencatat angka jangkitan baharu tertinggi dalam sehari apabila melaporkan 23,564 kes, menjadikan jumlah terkumpul kepada 1,513,024.

Syarikat gergasi makanan segera, kedai teh terkenal, kafe dan restoran memutuskan bahawa lebih baik tidak menerima pelanggan buat masa sekarang.

Bagaimanapun, kebimbangan terhadap jangkitan bukan satu-satunya masalah yang mereka hadapi. Kekurangan pekerja serta ketidakpastian mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang diperkenalkan oleh kerajaan turut menjadi kebimbangan mereka.

Renyi Chen, pengasas bersama dan pengarah urusan MyBurgerLab memberitahu The Malaysian Insight mereka kekurangan pekerja untuk mengendalikan pelanggan makan di premis dan perkhidmatan bungkus pada masa yang sama.

Chen juga berkata ketidakpastian politik semasa dan kemungkin peraturan dan SOP baharu yang mungkin diperkenalkan oleh kerajaan baharu juga menjadikan mereka lebih senang mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

Beliau berkata dengan pelantikan perdana menteri baharu dan kerajaan sebelum ini yang mempunyai sejarah mengubah SOP, beliau lebih suka menunggu semua perkara itu diselesaikan terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk dibuka semula.

“Kami tidak tahu apa yang akan terjadi. Akan ada perubahan dalam polisi bagi mengatasi wabak?

“Apakah akan ada SOP baharu? Kita tidak tahu.”

Yong Jiunn Harng, seorang daripada rakan kongsi di restoran Ah Ma Ho Liao di Melaka, berkata pembukaan semula ketika varian Delta Covid-19 bermaharajalela adalah keputusan “tergesa-gesa dan berbahaya”.

Yong, 30, berkata tambahan pula sebahagian kakitangannya belum menerima vaksin lengkap.

“Seperti yang saya katakan, pembukaan semula adalah keputusan yang terburu-buru. Pekerja saya belum mendapat vaksin lengkap  dan mereka terdedah kepada jangkitan. “

Beliau berkata memandangkan Melaka mempunyai kes yang tinggi, beliau yakin tidak akan menerima banyak pelanggan kerana masih orang ramai masih takut untuk keluar.

Yut Kee, sebuah restoran popular di Jalan Kamunting, Kuala Lumpur, mengeluarkan notis di laman Facebook mereka yang memberitahu pelanggan walaupun kerajaan membenarkan makan di premis, mereka hanya akan menyediakan perkhidmatan bungkus.

“Kami tidak membenarkannya (makan di restoran) buat masa ini,” katanya.

Cafe Yamatatsu, sebuah kafe Jepun di Jalan Klang Lama, juga mengumumkan di laman Facebook rasminya yang ia belum dibuka untuk makan di premis.

Namun, mereka masih menawarkan perkhidmatan bungkus dan penghantaran.

Kafe itu berkata walaupun kerajaan mengizinkan makan di kedai, jumlah kes yang tinggi menjadikan mereka lebih berhati-hati buat masa ini.

“Dalam satu atau dua minggu. Kami akan melihat apakah sesuai untuk dibuka semula. Kami akan memaklumkannya kepada anda.”

Kafe di lorong Kwai Chai Hong di Chinatown Kuala Lumpur, Republik Pandan, dan FYF Kopitiam di Mount Austin di Pulau Pinang juga mengambil keputusan yang sama dengan Yut Kee dan Cafe Yamatatsu apabila mengumumkan di media sosial yang mereka masih belum dibuka untuk makan di kedai.

Mereka berkata tidak akan mengikuti pengumuman kerajaan untuk sementara waktu dan akan dibuka semula apabila wabak stabil.

Tempat makan lain yang mengakui belum bersedia untuk bagi perkhidmatan makan di kedai adalah Park Le Space, kafe dan restoran Jepun Papa San.

“Tanpa mengetahui sepenuhnya mengenai SOP (baharu), kami memutuskan untuk menanguhkan dahulu pembukaan semula operasi,” Papa San menyiarkan di laman Facebook mereka.

“Beri kami sedikit masa dan kami akan segera kembali.”

Kedai makanan segera McDonald juga berkata perkara yang sama kecuali bagi cawangan tertentu di negeri terpilih, bahawa mereka belum bersedia untuk berbuat demikian.

Dalam catatan di media sosialnya, rangkaian restoran makanan segera itu berkata dengan keselamatan pelanggan menjadi keutamaan, hanya restoran terpilih di negeri Fasa 2 dan 3 - Perlis, Sabah, Sarawak dan Labuan - memenuhi kriteria syarikat yang membenarkan ia dibuka semula untuk makan di restoran.

Perdana menteri sementara Muhyiddin Yassin pada Khamis mengumumkan makan di kedai dibenarkan bagi individu yang diberi vaksin lengkap mulai 20 Ogos di semua negeri.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan di Facebook rasminya berkata banyak tempat dibuka semula kerana alasan ekonomi dan bukan kerana sudah selamat daripada Covid-19. – 21 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen