JOE Biden semalam berikrar akan pulang rakyat Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan walaupun mengakui operasi tersebut antara yang paling sukar dalam sejarah.
Presiden itu bagaimanapun memberi jaminan akan menggerakkan segala sumber yang ada untuk memastikan usaha memindahkan rakyat AS berjaya.
“Operasi pengangkutan melalui udara ini yang paling sukar dalam sejarah. Saya tidak boleh janjikan apakah hasilnya nanti.
“Sebagai ketua negara saya berikrar akan menggerakkan segala sumber yang ada. Saya ingin tegaskan mana-mana rakyat AS yang mahu pulang, kami akan bawa anda pulang,” katanya secara langsung di televisyen semalam.
Menurut Biden, sejak 14 Ogos lalu seramai 13,000 warga AS dibawa keluar dari Afghanistan, manakala 18,000 dipindahkan sejak Julai lalu. Ribuan lagi akan dipindahkan dengan penerbangan sewa khas, tambahnya.
Awal tahun ini, Biden menyasarkan menjelang 31 Ogos seluruh pasukan tentera AS dibawa keluar selepas 20 tahun menduduki Afghanistan.
Dalam ucapannya semalam, presiden itu berharap sasaran itu dapat dicapai, namun menegaskan ia masih bergantung kepada keadaan semasa dan keputusan komander tentera di lapangan. – AFP, 21 Ogos, 2021.
Komen