Pakar perubatan persoal tindakan tergesa-gesa longgar SOP


Alfian Z.M. Tahir

Pakar perubatan mempersoalkan tindakan terburu-buru kerajaan membenarkan makan di kedai kepada individu yang mendapat vaksin lengkap ketika kes harian Covid-19 terus melonjak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2021.

PAKAR kesihatan mempersoalkan keputusan Muhyiddin Yassin melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dengan membenarkan individu yang diberi vaksin lengkap makan di kafe dan restoran.

Walaupun memahami keperluan untuk membantu ekonomi, mereka berasa keputusannya terlalu tergesa-gesa memandangkan angka Covid-19 masih tinggi.

Pengerusi Pasukan Petugas Selangor untuk Covid-19 Dr Dzulkefly Ahmad berkata Muhyiddin seharusnya tidak terburu-buru dalam melonggarkan SOP.

“Saya mesti katakan ia diambil dengan perasaan berbelah-bahagi. Teknokrat dan pemimpin politik interim nampaknya tidak berkomunikasi dengan baik,” kata Dzulkefly.

“Saya agak kesal dengan idea itu walaupun saya memahami keperluan untuk memulihkan ekonomi.

“Kita tidak seharusnya terburu-buru kerana kita akan sampai juga ke sana (keadaan bertambah baik). Sekarang kita melihat tanda peningkatan, ICU (unit rawatan rapi) hospital turun, ini adalah pertanda baik, jadi tidak perlu terburu-buru .”

Bekas menteri kesihatan itu mengulas pengumuman Muhyiddin pada Khamis yang individu sudah mendapat vaksin lengkap di seluruh negara, termasuk negeri dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), dibenarkan makan di kedai.

Bekas perdana menteri itu turut mengumumkan ibu bapa yang diberi vaksin lengkap juga boleh membawa anak-anakberusia di bawah 17 tahun yang tidak divaksinasi untuk makan di kafe dan restoran.

A McDonald’s employee checking a man’s temperature before allowing him to enter the restaurant in Bukit Bintang, Kuala Lumpur, yesterday. Under the nationwide movement-control order, eateries are only allowed to cater to deliveries and takeaways. – The Malaysian Insight pic by Hasnoor Hussain, March 20, 2020.

Kelonggaran ini diumumkan pada hari ketika Malaysia melaporkan rekod tertinggi 22,948 kes baharu Covid-19, dengan Selangor dan Kuala Lumpur - dua negeri di Fasa 1 - mencatat 8,614 kes.

Angka bertambah lagi semalam apabila Malaysia mencatat 23,564 kes, tertinggi dalam satu hari.

Selangor terus mendahului senarai negeri bagi jumlah kes harian sebanyak lebih 6,000.

Dzulkefly, yang juga ahli Parlimen Kuala Selangor, berharap orang ramai terus berdisiplin dan mengingat bahaya varian Delta yang mempunyai kadar jangkitan lebih tinggi.

“Pakai pelitup muka dua lapis, jaga jarak anda, pastikan SOP yang ketat. Berhati-hatilah. Jumlah sedang naik di antara lima hingga enam negeri dengan kes baharu. Tumpuan kita masih terhadap program imunisasi,” kata ahli Parlimen Amanah itu.

Bekas timbalan Dzulkefly, Dr Lee Boon Chye berkata makan di kedai hanya boleh dipertimbangkan di Lembah Klang kerana 76% populasi dewasa sudah divaksinasi.

“Di luar Lembah Klang, kadar vaksinasi orang dewasa kurang daripada 50%. Jadi, kebenaran makan di kedai di kawasan ini tidak digalakkan. Jika kadar vaksinasi rendah, mereka yang tidak divaksinasi akan terdedah kepada risiko,” kata Lee.

Bagaimanapun, pakar pediatrik Dr Musa Mohd Nordin berkata melonggarkan sekatan sekarang adalah idea yang buruk.

“Hanya mereka yang mempunyai lengkap dibenarkan masuk dan makan di kedai, dan ia termasuk di luar juga. Anak-anak tanpa vaksin tidak boleh dibenarkan masuk,” katanya.

Musa yang lantang bersuara mengenai cara kerajaan menangani wabak  berkata, daripada membiarkan anak-anak yang tidak divaksinasi masuk ke restoran, kerajaan interim sepatutnya membenarkan taman awam dibuka.

“Nampaknya, tangan kiri dalam kerajaan tidak tahu apa yang dilakukan oleh tangan kanan.

“Makan di kedai tidak boleh dibenarkan terutama bagi kanak-kanak yang tidak divaksinasi. Saya cadangkan makan haruslah di luar premis, di tempat terbuka dan bukannya di tempat tertutup.

“Apa yang sepatutnya dibuka adalah taman tema, taman awam atau zoo. Risiko penularan luaran Covid-19 adalah 18 kali lebih sedikit berbanding aktiviti dalam tempat tertutup. Dengan pengaliran udara yang baik, kemungkinan lebih kecil untuk dijangkiti,” kata Musa. – 21 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen