Akhir era Team Wawasan Umno


Noor Azam Shairi

Anwar Ibrahim, arkitek dan teraju Team Wawasan yang muncul dalam pemilihan Umno 1993, kumpulan pemimpin muda yang pernah dilihat pewaris Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2021.

ERA Team Wawasan Umno – sekumpulan pemimpin muda yang dilihat pewaris Dr Mahathir Mohamad – berakhir dengan pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri Malaysia ke-9, hari ini.

Team Wawasan, yang mengambil nama sempena kepimpinan Wawasan 2020 Dr Mahathir Mohamad, adalah pasukan yang pernah dianggap barisan hadapan politik Umno dan Malaysia. Ia muncul pertama kali semasa pemilihan Umno 1993, yang paling menarik perhatian sejak parti diharamkan pada 1988.

Ironinya, Ismail jadi perdana menteri dengan mengatasi Anwar Ibrahim – arkitek Team Wawasan sendiri, yang sejak kemunculan pasukan itu pada 1993 disebut bakal perdana menteri.

Daripada lima anggota utama Team Wawasan, dua daripadanya – Najib Razak dan Muhyiddin Yassin – jadi perdana menteri.

Dua yang lain sempat jadi ketua kerajaan negeri tetapi mengakhiri karier politik mereka selepas terpalit skandal iaitu bekas menteri besar Selangor Muhammad Muhammad Taib dan bekas ketua menteri Melaka Rahim Thamby Chik.

Dalam pemilihan Umno 1993, Team Wawasan menyapu bersih jawatan utama Umno: timbalan presiden, tiga kerusi naib presiden dan ketua sayap Pemuda.

Anwar menang kerusi timbalan presiden Umno tanpa bertanding selepas penyandangnya Ghafar Baba menarik diri daripada pemilihan parti dan sekali gus letak jawatan timbalan perdana menteri.

Najib Razak merupakan salah seorang daripada lima anggota utama Team Wawasan, pasukan yang pernah dianggap barisan hadapan politik Umno dan Malaysia.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2021.

Penarikan diri dan seterusnya pengunduran Ghafar daripada parti dan kerajaan berlaku dengan cukup dramatik, tersungkur dari puncak kuasa dan kemudian tidak menjadi siapa-siapa.

Pada 1993, Anwar melonjak deras jadi orang Nombor 2 parti dan timbalan perdana menteri selepas 11 tahun masuk Umno. Penyertaan bekas aktivis pelajar dan belia itu ke dalam Umno mengejutkan banyak penyokongnya yang menyangka beliau akan memilih masuk PAS.

Namun lebih 10,000 hari selepas jadi timbalan perdana menteri pada 1 Disember 1993, kerusi perdana menteri masih terlalu jauh daripada jangkauan Anwar walaupun pernah tiga kali hampir meraihnya.

Anwar jadi calon perdana menteri dalam pilihan raya umum 2008 dan 2013 tetapi pakatan pembangkang hanya mampu menafikan Barisan Nasional (BN) daripada menang dua pertiga. 

Pada pilihan raya umum 2018 (PRU14), blok pembangkang akhirnya memecahkan benteng kuasa 60 tahun BN tetapi Anwar pula ketika itu di penjara.

Dr Mahathir yang menerajui Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya bersejarah itu dimajukan sebagai perdana menteri, dengan persefahaman hanya untuk sementara dan kemudiannya akan digantikan oleh Anwar.

Anwar, yang mendapat pengampunan diraja tidak sampai seminggu selepas PRU14, terpilih ahli Parlimen Port Dickson melalui pilihan raya kecil ‘khas’ untuknya pada Oktober 2018. Beliau bagaimanapun menegaskan tidak mahu menyertai Kabinet. 

Anwar dan penyokongnya mengharapkan peralihan kuasa lancar menerima baton perdana menteri daripada Dr Mahathir tetapi percaturan politik pada Februari 2020 sebaliknya mengangkat Muhyiddin, seorang naib presiden Team Wawasan.

Muhyiddin letak jawatan minggu lalu selepas gagal mempertahankan majoriti tipis sejak membentuk kerajaan Perikatan Nasional pada 1 Mac 2020.

Muhyiddin Yassin letak jawatan minggu lalu selepas gagal mempertahankan majoriti tipis sejak membentuk kerajaan Perikatan Nasional pada 1 Mac 2020.   – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2021.

Najib, seorang lagi naib presiden Team Wawasan, jadi perdana menteri selepas dibantu langkah politik menyingkirkan Abdullah Ahmad Badawi selepas prestasi buruk Umno pada pilihan raya umum 2008.

Abdullah yang mengambil alih kerajaan dan Umno daripada Dr Mahathir pada hujung 2003 memimpin BN menang cemerlang dalam pilihan raya umum 2004.

Team Wawasan berpecah menjelang pemilihan Umno pada 1996. Pada pemilihan itu, Muhyiddin gagal mempertahankan kerusi naib presiden.

Pada 1996 juga, Ahmad Zahid Hamidi mula mendaki hierarki Umno jadi ketua pemuda mengetepikan Rahim serta tiga pencabar lain termasuk Annuar Musa dan Syed Hamid Albar. Dalam pemilihan itu, Zahid menang selisih 64 undi mengatasi pencabar terdekatnya Annuar.

Anwar kekal timbalan presiden tanpa ditandingi pada pemilihan itu, tetapi dua tahun kemudian, beliau dipecat daripada parti dan kerajaan kerana dikaitkan dengan tuduhan liwat dan salah guna kuasa.

Ketika Team Wawasan muncul, Ismail adalah ketua pemuda Umno Temerloh.

Ismail, 61, juga akan jadi perdana menteri pertama Malaysia yang lahir selepas Merdeka.

Ismail Sabri Yaakob dijadual mengangkat sumpah di Istana Negara hari ini, sekali gus akan jadi perdana menteri pertama Malaysia yang lahir selepas Merdeka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 21 Ogos, 2021.

Era baru

“Umno sedang mengalami pemisahan era,” kata pensyarah politik Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), mengulas pelantikan Ismail sebagai perdana menteri.

“Era kepimpinan Umno sudah memasuki fasa baru… fasa orang muda pun nanti akan mula menerajui Umno.”

Mazlan melihat era baharu itu akan dikukuhkan apabila Umno menjalankan pemilihan parti, yang kini ditangguhkan selama 18 bulan sehingga hujung 2022.

“Umno akan mengalami transformasi apabila berlaku pemilihan parti. Dengan jawatannya sebagai perdana menteri, Ismail Sabri akan dilihat orang yang sepatutnya memimpin Umno,” katanya.

Mazlan melihat pada pemilihan itu nanti ada kemungkinan ahli-ahli Umno akan meminta kumpulan pemimpin yang dianggap kleptokrat atau yang ada kes di mahkamah supaya berundur.

“Ini dinamik kepimpinan yang akan berlaku dalam Umno tidak lama lagi,” katanya.

Ismail dijadual mengangkat sumpah di Istana Negara, 2.30 petang ini. – 21 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen