SEORANG pemandu lori maut selepas kenderaan dipandunya terlibat dalam kemalangan sebelum terjatuh ke tebing di Simpang 3, Jalan Jelai Rokan, dekat Tampin hari ini.
Ketua Polis Daerah Tampin Anuwal Ab Wahab berkata mangsa Mohd Zukri Hamden, 34, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan kira-kira 11.15 pagi tadi.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa yang memandu lori jenis Hino dalam perjalanan dari arah Sungai Kelamah dipercayai hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang sebelah kiri sebuah lori jenis Isuzu yang berada di hadapannya.
“Akibat perlanggaran itu, lori dipandu lelaki terbabit (Mohd Zukri) terbabas ke bawah tebing,” katanya dalam kenyataan di Tampin hari ini.
Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke hospital Tampin untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala pemandu lori jenis Isuzu berusia 34 tahun itu mengalami cedera ringan. – Bernama, 20 Ogos, 2021.
Komen