SETELAH menguasai pasaran kenderaan elektrik dan melabur dalam perlumbaan ke angkasa, bos Tesla, Elon Musk mengumumkan produk baharu yang beliau ingin kuasai: robot humanoid.
Beliau berkata pada Khamis, akan siap prototaip awal “Tesla Bot” tahun depan.
Berdasarkan teknologi yang sama dengan kereta syarikatnya, robot itu dikatakan boleh membuat tugas berulang-ulang kali dengan tujuan mengurangkan keperluan manusia melakukan kerja bahaya atau membosankan, kata Musk pada acara dalam talian mengenai perkembangan terbaharu Tesla dalam bidang kepintaran buatan (AI).
“Tesla boleh dikatakan syarikat robotik terbesar di dunia kerana kereta kami adalah sudah separa robot yang menggunakan tayar,” katanya. “Sangat masuk akal untuk menukar bentuknya kepada humanoid.”
Kenyataan terbaharu dari Tesla itu muncul ketika pembuat kereta itu menghadapi pelbagai masalah berikutan sistem bantuan pemandunya, dengan pengawal keselamatan di Amrika Syarikat melancarkan siasatan terhadap beberapa siri kemalangan berkait Tesla.
Tesla dituduh mengelirukan pemandu kenderaan untuk mempercayai kenderaan Autopilot yang disebut itu boleh memandu sendiri, walaupun Musk pertahankan sistem tersebut.
Kontroversi Autopilot tidak dibincangkan pada persidangan dalam talian dua setengah jam itu, atau dibangkitkan semasa sesi soal dari penonton.
Sebagai gantinya, Musk berjanji robot masa depannya akan jinak.
Beliau berkata Tesla Bot, yang akan memiliki lima jari dan warna hitam dan putih, dibuat untuk menjadi ramah malah manusia boleh mengawal robot itu.
“Mudah-mudahan itu tidak akan berlaku, tetapi kita takkan pernah tahu,” katanya, bergurau.
Musk, orang terkaya kedua di dunia menurut Forbes, memberitahu sidang itu beliau yakin robot akan menggantikan tenaga kerja fizikal manusia.
“Saya fikir pada asasnya kerja fizikal akan jadi pilihan,” katanya.
Syarikat Musk, SpaceX juga bersaing di pasar aeroangkasa komersial yang sedang berkembang pesat, sementara syarikat Neuralink dibina bagi mengembangkan implan otak untuk menghubungkan manusia dan komputer.
Tetapi “Technoking” yang digambarkannya itu berulang kali bertentangan dengan pengawal selia mengenai segala hal dari penggunaan media sosialnya untuk membincangkan operasi Tesla hingga protokol kesihatan koronavirus tempatan yang mempengaruhi kilang-kilangnya.
Syarikat itu mempunyai rekod tidak elok dengan tenaga kerja manusia, termasuk tuduhan amalan pekerja yang tidak adil dan memecat penganjur kesatuan pekerja. – AFP, 20 Ogos, 2021.
Komen