Menunggu titah Tuanku


Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengadakan perbincangan khas bersama Raja-Raja Melayu petang ini, dipercayai berkaitan pelantikan perdana menteri baharu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2021.

APABILA Raja-Raja Melayu mengadakan perbincangan khas petang ini, dipercayai berkaitan pelantikan perdana menteri baharu menggantikan Muhyiddin Yassin, kita berharap baginda-baginda tuanku akan menegaskan kedaulatan Perlembagaan Persekutuan.

Penegasan akan kedaulatan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara hanya boleh dibuat dengan mematuhi peruntukannya yang jelas dan terang.

Perdana menteri tidak dipilih oleh rakyat. Perdana menteri tidak dipilih oleh penganalisis ekonomi atau politik. Perdana menteri juga tidak dipilih atas dasar suka siapa atau tidak suka siapa.

Kuasa melantik perdana menteri adalah budi bicara Yang di-Pertuan Agong, seperti yang ditetapkan melalui Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Budi bicara itu pula dipandu oleh Perkara 42(2)(a) yang menyebut seorang perdana menteri hendaklah dilantik dalam kalangan ahli Dewan Rakyat “yang pada hemat (Yang di-Pertuan Agong) mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.”

Peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenainya jelas.

Proses itu sudah bermula. Semua 220 anggota Dewan Rakyat kelmarin menyerahkan kepada Istana Negara surat akuan sokongan mereka dengan menamakan seorang calon perdana menteri.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong perkenan menerima mengadap, secara tatap muka dan dalam talian, 114 ahli parlimen untuk mengesahkan surat akuan mereka.

Melalui kenyataan Istana Negara kelmarin (18 Ogos), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah surat akuan itu untuk membantu baginda membuat keputusan melantik perdana menteri.

Al-Sultan Abdullah juga menitahkan perdana menteri yang dilantik nanti hendaklah “secepat mungkin” mengemukakan usul percaya terhadapnya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan kepercayaan majoriti kepadanya.

Setelah melantik perdana menteri, Yang di-Pertuan Agong seterusnya akan melantik Jemaah Menteri. Anggota Jemaah Menteri ini pula dilantik “atas nasihat perdana menteri”.

Ia bukan lagi kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong. Ia kuasa perdana menteri. Perdana menteri berhak memilih sesiapa yang beliau hendak dan yakin dapat membantunya mentadbir kerajaan Seri Paduka Baginda. 

Pelantikan, pemecatan dan pengguguran menteri atau timbalan menteri selama ini – sejak Merdeka – begitulah: hak prerogatif perdana menteri.

Hak itu adalah cerminan kebijaksanaan seseorang perdana menteri, yang harus kita fahami – selalu juga terikat dengan realiti politik kepartian. 

Hak perdana menteri itulah yang akan menentukan  jemaah menterinya terdiri daripada kalangan parti politik yang mendukungnya atau rentas parti, menjadi sebuah kerajaan perpaduan.

Ertinya, terpulang dan terserah pada perdana menteri.

Suka atau tidak, akhirnya nanti rakyatlah yang akan menentukan pada pilihan raya nanti.

Rakyat tidak boleh memilih perdana menteri atau menteri dan timbalan menteri yang akan menggantikan Muhyiddin dan jemaah menterinya, tetapi rakyat nanti boleh memilih kerajaan baharu yang akan mengangkat perdana menteri dan jemaah menteri harapan mereka.

Setakat ini dan sehingga ada pilihan raya nanti, itulah realitinya. – 20 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen