Peringatan Mahdzir jangan sokong pembangkang hanya ‘nasihat ayah’


Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid dikatakan hanya memberi “nasihat seorang ayah” ketika beliau mengingatkan guru dan pegawai pendidikan supaya tidak menyokong pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Januari, 2018.

MENTERI Pendidikan Mahdzir Khalid hanya memberi “nasihat seorang ayah” ketika beliau mengingatkan guru dan pegawai pendidikan supaya tidak menyokong pembangkang, kata pasukan media menteri itu menerusi Twitter.

“Ini ditekan apa yang dikatakan oleh beliau selaku menteri pendidikan hanyalah seperti nasihat dari seorang ayah kepada anak-anaknya dan bukan seperti yang ditularkan,” kata twitter Pejabat Media dan Komunikasi Kementerian Pendidikan, lewat malam semalam.

“Beliau hanya menasihati agar semua orang khususnya penjawat awam menggunakan ‘wisdom’ dalam membuat keputusan sewaktu mengeluarkan kenyataan terhadap kerajaan kerana anda berkhidmat untuk kerajaan demi rakyat.

“Sebarang kenyataan dibuat mungkin dapat mengganggu gugat posisi anda dalam sektor awam. Makanya, beliau hanya menasihati agar jangan membuat kenyataan yang akan memberi kesan negatif kepada diri masing-masing pada masa depan, bukan seperti yang ditularkan. Sekian, terima kasih.”

Tweet itu turut disertakan dengan laporan Mahdzir dipetik oleh akhbar berbahasa Cina, Kwong Wah memberitahu guru yang juga penjawat awam bahawa tindakan disiplin akan dikenakan jika mereka menyokong pembangkang.

Beliau berkata penjawat awam, pegawai Jabatan Pendidikan dan guru dilarang menyertai parti pembangkang atau mengkritik kerajaan kerana ia boleh dianggap mensabotaj dan mencemar imej kerajaan.

Mahdzir yang menyampaikan perutusan tahun baru di satu program di Putrajaya, dilaporkan meminta guru meletak jawatan sebelum kementerian memecat mereka. Namun, katanya guru boleh menyertai parti politik kerajaan pemerintah.

Agensi berita nasional Bernama dalam laporannya memetik Mahdzir berkata guru yang menyertai parti politik pembangkang, perlu meletakkan “buffer zone” antara kerjaya dan ideologi politik agar tidak terlalu menyerlahkan watak pembenci dan anti kerajaan.

Beliau berkata kementerian juga tidak berhasrat mengganggu warga pendidik terbabit sehingga perlu dipecat daripada perkhidmatan tetapi meminta mereka bertindak secara profesional selaku penjawat awam. – 20 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen