MENTERI luar dari negara G7 pada Khamis mendesak Taliban sedia laluan selamat bagi mereka yang ingin meninggalkan Kabul, menurut kenyataan rasmi pertama kumpulan itu mengenai krisis.
Mereka menggesa Taliban “menjamin laluan selamat kepada warga asing dan Afghanistan yang ingin pergi”, menurut pejabat luar Britain.
Negara G7 meneruskan usaha bagi pemindahan pihak yang terjejas dari lapangan terbang Kabul, tambah mereka.
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Menteri Luar Britain, Dominic Raab, yang dikritik kerana dilaporkan sedang bercuti dan tidak dapat membuat panggilan telefon kepada rakan sejawatannya dari Afghanistan ketika krisis meletus.
Pemimpin G7 berkata mereka sangat bimbang dengan laporan tindakan balas ganas dan membincangkan perlunya masyarakat antarabangsa menyediakan laluan penempatan semula yang selamat dan sah.
Mereka sepakat cuba mencari penyelesaian politik yang inklusif, bagi membolehkan bantuan dan sokongan kemanusiaan menyelamatkan nyawa di Afghanistan dan rantau ini, serta menghalang kehilangan lebih banyak nyawa dan kepada masyarakat antarabangsa akibat keganasan, tambah kenyataan itu.
Pejuang Taliban berada di pusat pemeriksaan di sekitar lapangan terbang Kabul pada Khamis ketika kebimbangan meningkat yang mereka akan menyekat rakyat Afghanistan menaiki penerbangan untuk pemindahan.
Puluhan ribu orang cuba melarikan diri dari Afghanistan sejak Taliban menguasai ibu negara pada Ahad, ketika pasukan tentera AS menarik diri selepas 20 tahun di negara itu. – AFP, 20 Ogos, 2021.
Komen