PENGAWAL selia Amerika Syarikat (AS) pada Khamis memfailkan semula saman yang mendakwa Facebook terus memonopoli rangkaian sosial secara tidak sah, dua bulan selepas kes itu digugurkan oleh hakim.
Dalam aduan yang dipinda, Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) berkata dominasi Facebook “dilindungi sekatan tertinggi untuk masuk,” dan pesaing lain tidak mampu bersaing walaupun mempunyai produk yang bagus.
Saman yang difailkan di mahkamah persekutuan di ibu negara AS berkata Facebook menggunakan “pemerolehan antipersaingan” bagi melindungi penguasaannya termasuk platform sosial Instagram dan WhatsApp.
“Facebook tidak memiliki kepintaran perniagaan dan bakat teknikal untuk bertahan dalam peralihan ke telefon bimbit.
“Setelah gagal bersaing dengan inovator baru, Facebook secara haram membeli atau ‘menguburkannya’ apabila populariti mereka menjadi ancaman,” kata Ketua Biro Persaingan FTC, Holly Vedova.
“Ia ibarat Facebook memberi rasuah kepada menyuap pesaing aplikasi baru agar tidak bersaing. Tindakan FTC hari ini bertujuan menghentikan aktiviti haram ini dan mengembalikan persaingan untuk kepentingan rakyat Amerika dan perniagaan yang jujur.”
Facebook yang sekian lama menafikannya dakwaan itu berkata dalam satu kenyataan: “Kami sedang mengkaji aduan FTC yang dipinda dan akan ada lebih banyak lagi akan diberitahu tidak lama lagi.”
Pada Jun, Hakim Daerah AS James Boasberg berkata saman awal agensi itu tidak memiliki bukti, terutama dalam menentukan pasaran Facebook didakwa memonopoli.
Agensi persekutuan berkata tindakannya itu berdasarkan kenyataan tidak jelas yang Facebook menguasai lebih 60% pasaran rangkaian sosial, tetapi FTC tidak memperincikannya menurut keputusan hakim pada 28 Jun, yang memberi peluang agensi memfailkan semula kes dengan alasan berbeza. – AFP, 20 Ogos, 2021.
Komen