Pemimpin perniagaan senaraikan bidang perlu diutamakan kerajaan baharu


Angie Tan

Sejak PKP 3.0 dikenakan pada Mei, banyak PKS tidak dapat beroperasi menyebabkan mereka menanggung kerugian yang tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2021.

PEKERJAAN, pendidikan awam dan pengetahuan pakar yang lebih meluas dalam memerangi Covid-19 perlu menjadi keutamaan perdana menteri baharu dan Kabinetnya, kata pemimpin perniagaan dan ketua dewan perdagangan.

Presiden Kebangsaan Persatuan PKS Malaysia Michael Kang berkata, kerajaan baharu perlu memperkenalkan pakej ekonomi yang lebih komprehensif merangkumi pengurangan sewa, subsidi gaji serta pinjaman untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bertahan dari wabak berkenaan.

“Malaysia menjadi negara yang dikenakan perintah sekatan pergerakan paling lama iaitu lebih 500 hari,” katanya kepada The Malaysian Insight, merujuk kepada pelbagai perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkan sejak pertengahan Mac tahun lalu.

“Dan sejak PKP 3.0 dikenakan pada Mei, banyak PKS tidak dapat beroperasi.

“Mereka mempunyai pendapatan sifar selama lebih empat bulan dan berdepan pelbagai masalah hutang,” katanya.

Kang berkata, banyak organisasi amal yang mengedarkan bakul makanan percuma dan bank makanan ditempatkan di sepanjang jalan membuktikan betapa ramainya yang berdepan kesukaran.

Selain menangani masalah ekonomi dan kelangsungan hidup PKS, kerajaan baharu juga perlu memastikan pandemik berada dalam keadaan terkawal, tambahnya.

Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC), Tan Yew Sing meletakkan Kementerian Kesihatan dan kemudian secara kolektif Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) serta Kementerian Hal Ehwal Pengguna sebagai dua portfolio utama untuk kerajaan baharu.

“Kementerian Kesihatan perlu disusun semula secepat mungkin agar tidak bergantung kepada ahli politik dan menggunakan lebih banyak input daripada pakar dan sarjana, pegawai kerajaan dalam sistem kesihatan, pakar perubatan dan pakar kecemasan serta krisis yang lain.

“Situasi di Malaysia hari ini mesti dianggap sebagai darurat di waktu perang,” kata Tan.

Kumpulan kedua kementerian yang perlu terlibat dalam menguruskan ekonomi mesti bekerjasama dengan lebih baik, katanya.

“Harus ada kerjasama antara jabatan dan semua perlu berkolaborasi bersama dengan organisasi bukan kerajaan, dewan perdagangan, ahli perniagaan dan ekonomi serta sarjana.

“Mereka mesti membincangkan secara khusus bagaimana mengembalikan keyakinan perniagaan domestik dan pelabur asing,” katanya.

Tan berkata, salah satu contoh keputusan teruk yang akan mengusir kemasukan wang asing adalah semakan semula syarat program Malaysia My Second Home (MM2H) yang akan disambung semula pada Oktober selepas dibekukan dengan ambang permohonan yang lebih tinggi terhadap pendapatan, aset dan simpanan tetap, di samping bayaran lebih tinggi dan syarat visa lebih pendek.

Tan berkata, beliau berharap kerajaan baharu akan kembali kepada ambang sebelumnya.

“Malaysia kini berada pada titik lemah dengan kedudukan KDNK di antara negara Asean jatuh ke tempat kelima.

“Mereka yang berkuasa perlu berhenti berfikir bahawa Malaysia adalah syurga dan menjadikan program MM2H sebagai keutamaan. Anda tidak meningkatkan daya tarikan negara dengan menaikkan ambangnya,” katanya. – 20 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen