Polis tahan peserta himpunan peringati mangsa Covid-19


Kalidevi Mogan Kumarappa

Salah seorang peserta program 'Memorial Memperingati Mereka Yang Gugur Disebabkan Pandemik Covid19' ditahan polis kerana berkumpul di Dataran Merdeka malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 Ogos, 2021.

POLIS menahan 25 peserta program ‘Memorial Memperingati Mereka Yang Gugur Disebabkan Pandemik Covid19’ yang berkumpul di Dataran Merdeka.

Berdasarkan maklumat yang diterima The Malaysian Insight, kumpulan itu yang mula berkumpul jam 7.50 malam pada awalnya bermula dengan aktiviti menyalakan lilin beramai-ramai bagi memperingati mangsa maut akibat Covid19.

Menurut peserta, penganjur kumpulan kemudian memberi ucapan ringkas dan diakhiri dengan pengagihan bunga ros.

Bagaimanapun, kira-kira jam 8.40 malam, polis mula meminta maklumat peribadi setiap peserta dan apabila gagal memberi kerjasama, mereka ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

Sementara itu, menurut jurucakap Parti Sosialis Malaysia (PSM), seramai tujuh ahli mereka yang hadir dalam program itu ditahan polis.

Berdasarkan maklumat yang diberikan melalui WhatsApp, mereka yang ditahan termasuk seorang AJK Pusat PSM,Chong Yee Shan, Bharathi Panner Selvam, Chong Yee Shan, Gurpreet Singh, Sarah Irdina, Navin, Muaz Ishak dan Irfan Hafizuddin.

Peserta 'Memorial Memperingati Mereka Yang Gugur Disebabkan Pandemik Covid19' meletakkan bunga rosa dan menyalakan lilin beramai-ramai di Dataran Merdeka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 Ogos, 2021.

Selain itu, lima aktivis penganjur perhimpunan Lawan iaitu Mohamad Al Shatri Abdullah, Mohammad Asraf Sharafi Mohammad Azhar, Tharmelinggem Pillai dan Qyira Yusri juga antara yang ditahan polis. 

The Malaysian Insight difahamkan semua peserta itu dibawa ke IPD Dang Wangi untuk proses dokumentasi sebelum dikeluarkan kompaun.

Ketua Polis Dang Wangi,Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi menyatakan akan mengeluarkan kenyataan media dalam masa terdekat. – 19 Ogos, 2021.

Aktivis memegang plakat dan bunga mawar semasa 'Memorial Memperingati Mereka Yang Gugur Disebabkan Pandemik Covid19' di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen