Kamu juga disokong kleptokrat, bidas kumpulan masyarakat sivil kepada Muhyiddin 


Raevathi Supramaniam

Pengarah eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata Muhyiddin Yassin hanya menjadikan kleptokrat sebagai isu kerana Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan 14 ahli Parlimen Umno lain menarik sokongan terhadap beliau sebelum ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Ogos, 2021.

AMARAN Muhyiddin Yassin bahawa Perikatan Nasional akan menarik sokongannya kepada Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri jika dia termasuk mereka yang menghadapi perbicaraan jenayah di Kabinetnya adalah ironi kerana bekas perdana menteri itu sendiri diketahui bekerjasama dengan kleptokrat, kata kumpulan masyarakat sivil.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight Muhyiddin tidak boleh mendakwa memiliki moral tinggi kerana beliau juga merupakan antara tokoh utama di sebalik kejatuhan Pakatan Harapan pada 2018. 

“Ia adalah ironi kepada Muhyiddin untuk cuba mendakwa memiliki moral tinggi yang beliau tidak boleh bekerja dengan kleptokrat sedangkan beliau dan partinya yang menyebabkan kejatuhan PH dengan membentuk gabungan baharu bersama mereka (kleptokrat),” kata pengerusi pemerhati pilihan raya Bersih 2.0, Thomas Fann. 

Fann berkata, perebutan kuasa Muhyiddin dan kejatuhannya kini membuka jalan kepada mereka yang diundi oleh rakyat pada pilihan raya umum lalu untuk membentuk kerajaan baharu. 

“Kejatuhannya sendiri membawa kepada pengkhianatan kepada rakyat yang mengundi beliau dan PH untuk berkuasa pada 2018 dengan menolak BN dan Umno sekiranya Ismail Sabri sah sebagai perdana menteri ke-9. 

“Pengkhianatannya telah menyebabkan parti ditolak oleh pengundi pada PRU14 dan melemahkan kepercayaan rakyat terhadap sistem politik kita,” katanya.

Terdahulu hari ini, Muhyiddin yang juga pengerusi PN berkata ini merupakan syarat yang ditetapkan oleh gabungan itu sebelum 50 ahli Parlimennya menghantar surat perakuan bersumpah (SD) menyokong naib presiden Umno untuk jawatan perdana menteri.

Bekas perdana menteri itu berkata PN, yang merupakan gabungan Bersatu (31 ahli Parlimen), PAS (18) dan STAR (1), sebulat suara bersetuju untuk menyokong Ismail Sabri sebagai perdana menteri agar dasar kerajaan sebelum ini dalam menangani pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi dapat diteruskan. 

Pengarah eksekutif Suaram Sevan Doraisamy turut bersetuju dengan Fann bahawa ianya ironi yang Muhyiddin menetapkan syarat walaupun beliau sendiri tidak kidah menyokong kleptokrat dan mereka yang berdepan pendakwaan rasuah, untuk menjadi perdana menteri. 

“Sungguh ironi PM sementara sekarang menekankan bahawa kerajaan akan datang perlu terdiri dari pemimpin yang dianggapnya bersih sedangkan pada awalnya disokong oleh mereka yang sekarang dikatakan sebagai kleptokrat,” kata Sevan.

Sevan berkata Muhyiddin kini hanya menbimbulkan isu dengan individu berkenaan kerana Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan 14 ahli Parlimen Umno lain memutuskan untuk menarik  balik sokongan mereka yang membawa kepada peletakan jawatannya.

Tambahnya sepanjang 17 bulan Muhyiddin sebagai perdana menteri, terdapat contoh yang mana pendakwaan rasuah terhadap ahli Parlimen digugurkan atau ditarik balik. 

“Pertuduhan terhadap bekas ketua menteri Sabah Musa Aman dan ahli Parlimen Putrajaya Tengku Adnan Mansor sama ada digugurkan atau ditarik balik dari mahkamah sedangkan masih ada kes siasatan tertangguh terhadap Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Kuala Langat Xavier Jayakumar. 

“Mereka ini sudah pasti tidak bersih dan tidak bebas daripada pertuduhan rasuah, namun mereka masih kekal dan disokong ketika Muhyiddin berkuasa.”

Beliau bagaimanapun memberi peringatan bahawa sekiranya Ismail Sabri dipilih sebagai perdana menteri seterusnya, beliau tidak boleh memandang ringan ancaman Muhyiddin untuk menarik balik sokongan. 

“Muhyiddin menerusi kenyataannya masih mempunyai dokongan 50 ahli Parlimen. Tuntutan itu yang Ismail Sabri dan Umno tidak boleh pandang ringan dan kemungkinan akan diakui jika Ismail Sabri ingin membentuk kerajaan yang mempunyai sokongan majoriti kukuh di Parlimen.”

Sementara itu, penganalisis politik Oh Ei Sun berkata Muhyiddin hanya meminta Ismail Sabri menetapkan perkara sama yang beliau tetapkan semasa menjadi perdana menteri, untuk tidak menyertakan mereka dari kluster mahkamah, ahli Parlimen Umno yang mempunyai pertuduhan jenayah, ke dalam kabinet. 

“Muhyiddin tidak menyertakan mereka dari kluster mahkamah ke dalam kabinetnya, jadi beliau tidak menjangkakan Ismail Sabri akan melantik mereka. 

“Kamu boleh salahkan Muhyiddin kerana menyertakan kluster mahkamah dalam gabungan kerajaannya sebagai penyokong, namun beliau tidak masukkan ke dalam kabinet.

“Beliau meminta Ismail Sabri tidak sertakan mereka dalam kabinet, namun beliau tidak kata tidak boleh sertakan mereka sebagai penyokong gabungan pemerintah,” tambah Oh. – 19 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen