Aktor Hollywood didakwa lakukan gangguan seksual


Aktor terkenal Michael Douglas didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita yang pernah menjadi pekerjanya pada 1980-an. – Gambar AFP, 20 Januari, 2018.

SEORANG bekas kakitangan mendakwa aktor terkenal Michael Douglas melakukan gangguan seksual terhadapnya, namun pemenang Oscar itu menafikan dakwaan itu.

Douglas menjadi personaliti terkemuka yang terkini didakwa terbabit dengan salah laku seksual selepas pendedahan siri gangguan seksual oleh penerbit terkemuka Harvey Weinstein tahun lalu.

Penulis Susan Braudy dalam satu wawancara bersama NBC News berkata, Douglas yang juga anak kepada pelakon Hollywood Kirk Douglas, merasakan beliau raja di dunia ini dan berhak menghina orang lain tanpa rasa bersalah.

Braudy mendakwa Douglas sering mengeluarkan kata-kata berbaur seksual dan mengulas secara terperinci tentang bentuk badannya sepanjang tiga tahun beliau berkhidmat di pejabat Stonebridge Productions milik aktor itu di New York, pada 1980-an.

Menurut Braudy, penderaan seksual oleh aktor itu bertambah teruk pada 1989 ketika beliau bertugas di pangsapurinya selepas Douglas semakin terkenal menerusi lakonan mantap dalam filem pecah panggung seperti “Fatal Attraction” dan “Wall Street”.

“Douglas duduk di atas lantai, membuka tali pinggangnya dan memasukkan tangan di dalam seluar.

“Saya dapat melihat dengan jelas apa yang sedang dilakukan. Beliau sedang memuaskan nafsunya sendiri dan saya menjadi sangat takut,” kata Braudy kepada NBC.

Braudy, yang pernah menulis dua buku bukan fiksyen berkata, beliau menceritakan apa yang berlaku kepada beberapa rakannya dan mereka menasihatinya supaya berdiam diri. – AFP, 20 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen