China, Laos kongsi pandangan perkukuh kerjasama


Timbalan Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone berjanji untuk meneliti semua pandangan serta dan pendapat yang dikemukakan berkenaan permuafakatan antara China dan Laos. – Gambar EPA, 19 Ogos, 2021.

CHINA dan Laos perlu melaksanakan permuafakatan peringkat tinggi secara serius, di samping melakukan penyelarasan strategik, mengintensifkan kerjasama pragmatik dan mendorong pembentukan komuniti berkongsi nasib.

Duta China ke Laos, Jiang Zaidon berkata demikian ketika mempengerusikan dialog kelima antara Kerajaan Laos dan Perusahaan Modal China, bersama Timbalan Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone di Vientiane, Laos baru-baru ini.

Dialog itu turut disertai pegawai dari 14 kementerian Laos serta perwakilan agensi modal China daripada pelbagai bidang.

Pada dialog itu, perwakilan China berkongsi pandangan dan pendapat khususnya dalam bidang kewangan, infrastruktur pengangkutan, pembinaan zon penerokaan, bekalan elektrik dan perlombongan, pemprosesan dan perkilangan serta kerjasama pertanian.

Turut menjadi agenda perbincangan termasuk pengawalan pasaran mata wang asing, kemudahan lalu lintas rentas sempadan dan peningkatan keupayaan komitment kerajaan.

Sementara itu, Sonexay Siphandone merangkap Menteri Perancangan dan Pelaburan Laos berjanji untuk meneliti semua pandangan serta dan pendapat yang dikemukakan.

“Saranan itu akan dipanjangkan ke jabatan yang berkaitan untuk membolehkan pelaksanaan seterusnya dibuat,” katanya.

Tatkala penularan wabak Covid-19 yang masih melanda serta kemerosotan ekonomi sejagat, Sonexay menyifatkan dialog kali ini amat signifikan, selain bertepatan dengan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik dan persahabatan kedua-dua negara.

Kerajaan Laos juga mengulangi tekad untuk memperhebat kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), menambah baik kesalinghubungan, menarik pelaburan dan perusahaan ke Laos menerusi dialog dan interaksi. – Bernama, 19 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen