Beri laluan kepada jemaah menteri profesional


PERDANA menteri, tidak boleh tidak, hendaklah seorang ahli Dewan Rakyat. Dan beliau hendaklah mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Ini kehendak Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Tetapi menteri tidak dikehendaki oleh Perkara 43(2)(b) untuk menjadi seorang ahli Dewan Rakyat. Menteri boleh dilantik daripada kalangan ahli Dewan Negara (senator).

Perkara 45(1)(b) membenarkan Yang di-Pertuan Agong melantik sehingga 40 senator. Pun begitu, senator yang akan dilantik Yang di-Pertuan Agong “hendaklah orang yang pada pendapatnya memberikan perkhidmatan awam cemerlang atau mencapai keunggulan dalam profesion, perdagangan, perindustrian, pertanian, aktiviti kebudayaan atau perkhidmatan sosial atau mewakili ras minoriti atau berkebolehan mewakili kepentingan Orang Asli” – Perkara 45(2).

Negara tidak ketandusan orang yang memenuhi syarat dalam Perkara 45(2). Ramai yang memberikan perkhidmatan cemerlang kepada negara. Ramai yang mencapai keunggulan dalam profesion mereka.

Ramai yang tanpa keahlian dalam mana-mana parti politik. Mereka ini “apolitical”.

Mereka ini boleh dilantik Yang Di-Pertuan Agong untuk menjadi senator. Kemudiannya mereka boleh dilantik menjadi menteri atas nasihat perdana menteri.

Maka terbentuklah satu jemaah menteri profesional untuk menjalankan tugas di bawah Perkara 43(1) untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam menjalankan fungsi baginda Tuanku.

Sudah masanya diberi laluan kepada jemaah menteri profesional. Cukuplah ahli Dewan Rakyat berkhidmat untuk rakyat sebagai “wakil rakyat”.

Rakyat lebih perlukan mereka sebagai wakil mereka dan bukan sebagai menteri atau timbalan menteri.

Benarkan kalangan profesional yang “apolitical” pula berkhidmat kepada rakyat sebagai menteri untuk penggal Parlimen ke-14 ini yang berbaki kurang dua tahun. – 19 Ogos, 2021.

* Hafiz Hassan ialah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen