Aktivis Hong Kong didakwa sertai kempen sekatan terhadap China


Polis mengawal kenderaan membawa aktivis demokrasi, Andy Li dan peguam Chan Tsz-wah ke mahkamah untuk didakwa hari ini. – Gambar AFP, 19 Ogos, 2021.

DUA rakyat tempatan yang dituduh terbabit dalam kempen sekatan antarabangsa terhadap China mengaku bersalah mengikut undang-undang keselamatan bandar raya itu.

Aktivis demokrasi, Andy Li, 31, dan peguam, Chan Tsz-wah, 30, mengaku bersalah di atas pertuduhan bersubahat dengan kuasa luar untuk membahayakan keselamatan China.

Pihak pendakwaan berkata mereka sebahagian daripada kumpulan yang menerbitkan bahan iklan dan artikel di akhbar luar negara yang menggesa sekatan dikenakan ke atas China.

Bagaimanapun tiada maklumat terperinci diperoleh menerusi mahkamah berkenaan kes dihadapi kedua-dua tertuduh.

Mereka dikaitkan dengan kumpulan yang memiliki hubungan dengan taikun media prodemokrasi yang kini menjalani hukuman penjara iaitu Jimmy Lai.

Li antara 12 rakyat Hong Kong yang gagal melepaskan diri menggunakan bot laju menuju ke Taiwan sebelum ini.

Mereka ditahan pasukan pengawal pantai China atas kesalahan merentas sempadan secara tidak sah.

Kumpulan terbabit kemudiannya dihantar pulang ke Hong Kong untuk menjalani perintah tahanan.

Pertuduhan terhadap Li dan Chan membabitkan kes membantu pelarian melarikan diri, ditangguhkan oleh pihak pendakwaan. – AFP, 19 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen