CHINA berharap agar keamanan dan kestabilan dapat dikembalikan di Myanmar, kata Menteri Luar China, Wang Yi.
Beliau berkata demikian dalam perbualan telefon dengan Duta Khas Asean ke Myanmar merangkap Menteri Luar II Brunei, Erywan Mohd Yusof pada Rabu.
Wang turut merakamkan penghargaan atas sumbangan Brunei terhadap perkembangan hubungan China-Asean selaku Pengerusi Asean serta sokongan Brunei dalam meningkatkan status hubungan China-Asean
“Brunei diharapkan terus memainkan peranan positif bagi memastikan mesyuarat sempena ulang tahun ke-30 hubungan dialog China-Asean dapat diadakan dan dapat memberikan hasil yang memberansangkan,” katanya.
Wang yakin Erywan berupaya memainkan peranannya membantu pelbagai pihak di Myanmar untuk mencari penyelesaian politik dalam kerangka perlembagaan melalui dialog selaras dengan konsensus lima perkara yang dicapai pemimpin Asean pada April lalu.
Beliau turut mengemukakan empat cadangan antaranya Asean perlu bersikap rasional dan pragmatik dengan semua pihak yang berkaitan di Myanmar untuk membina kepercayaan dan menghulurkan bantuan sewajarnya dalam usaha negara itu melawan pandemik Covid-19.
“Sikap sabar dan tekad perlu dikekalkan sambil menggalakkan rundingan damai untuk memulakan semula proses demokrasi di Myanmar dan menghalang sebarang campur tangan pihak luar,” katanya.
Sementara itu Wang berkata China komited memberikan bantuan kecemasan yang diperlukan Myanmar melalui pelbagai saluran.
“China akan menyokong penuh peranan duta khas Asean dan bersedia memainkan peranan membina bagi menyelesaikan isu Myanmar menerusi saluran politik secara aman,” katanya. – Bernama, 19 Ogos, 2021.
Komen