BIRO Penyiasatan Persekutuan (FBI) sedang menyiasat seorang lagi individu yang dipercayai ada kaitan dengan kejadian tembakan rambang besar-besaran di sebuah konsert di Las Vegas, Oktober lalu, menyebabkan 58 terbunuh.
Penembak terbabit, seorang lelaki berusia 64 tahun dikenali sebagai Stephen Paddock membunuh diri selepas melepaskan tembakan dari sebuah bilik hotel.
Ia kejadian tembakan terburuk dalam sejarah Amerika Syarikat pada masa ini.
Sherif Daerah Clark, Joe Lombardo pada satu sidang media berkata FBI sedang menyiasat seorang individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan, tetapi enggan mengulas lanjut.
Beliau bagaimanapun berkata kejadian itu dipercayai membabitkan seorang lelaki yang membunuh 58 orang dan mencederakan ratusan pengunjung lain.
Lombardo berkata beliau juga yakin dakwaan tidak akan dikenakan ke atas teman wanita penyerang, Marilou Danley.
“Paddock seorang bekas akauntan kaya raya yang juga pemain poker online tegar dan bergantung kepada ubat Valium untuk merawat penyakitnya.
“Beliau kehilangan sejumlah wang pada 1 Oktober. Ia mungkin faktor di sebalik serangan itu,” katanya. – AFP, 20 Januari, 2018.
Komen