PASUKAN forensik telah mengambil sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi pengesahan tiga mangsa yang rentung hampir 90 peratus dalam kemalangan jalan raya di Jalan Masjid Negeri, di George Town Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata bedah siasat mendapati mereka yang terlibat dalam kemalangan itu ialah dua lelaki dan seorang wanita dipercayai berusia lingkungan 20-an namun setakat ini belum dapat membuat pengesahan identiti semua mangsa.
“Semalam, kira-kira 1.30 petang terdapat tiga keluarga yang mendakwa mereka adalah waris bagi tiga mangsa kemalangan itu telah hadir untuk membuat pengecaman namun pengecaman mayat tidak dapat membuktikan (mereka) ahli keluarga si mati.
“Ia disebabkan keadaan tiga mangsa rentung dan barang peribadi diperoleh daripada tiga mayat itu adalah tidak cukup dan tiada ciri-ciri pengenalan khas pada kesemua mangsa yang boleh membantu pengecaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Soffian berkata pihak forensik telah mengambil sampel DNA daripada setiap waris tiga mangsa itu untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi pengesahan identiti mereka manakala tiga mayat akan disimpan di bilik peti sejuk Jabatan Forensik sehingga pengesahan DNA mayat di perolehi sebelum tindakan menyerahkan mayat kepada ahli keluarga dibuat.
Dalam kejadian itu, tiga individu maut selepas kereta jenis Toyota Vios dinaiki mereka terbabas lalu melanggar sebatang pokok dan terbakar di simpang tiga Jalan Masjid Negeri pada 3.05 pagi Isnin lepas.
Siasatan di lokasi kejadian mendapati, kereta tersebut terbakar 90 peratus dan hasil pemeriksaan awal pada kenderaan itu terdapat tiga mayat masih berada di tempat duduk kereta iaitu, seorang di bahagian pemandu, seorang di bahagian tempat duduk penumpang hadapan dan seorang lagi di bahagian tempat duduk belakang. – Bernama, 19 Ogos, 2021.
Komen