Kes pertama Covid-19 dilaporkan di Perkampungan Paralimpik


Kes pertama Covid-19 dikesan di Perkampungan Paralimpik di Tokyo, beberapa hari sebelum kejohanan dibuka, kata penganjur. – Gambar EPA, 19 Ogos, 2021.

KES pertama koronavirus dikesan di Perkampungan Paralimpik, beberapa hari sebelum kejohanan dibuka, kata penganjur, ketika Jepun sedang bergelut dengan gelombang baharu jangkitan Covid-19.

Kes itu membabitkan seorang staf yang bukan penduduk Jepun, menurut penganjur tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

Penganjur setakat ini melaporkan 74 kes berkaitan Paralimpik, kebanyakannya dalam kalangan kontraktor dan staf Olimpik yang tinggal di Jepun. Enam lagi kes dilaporkan di kawasan tempatan yang menjadi tuan rumah pasukan bagi kem latihan.

Setakat ini tidak ada laporan jangkitan dalam kalangan atlet di perkampungan yang dibuka kepada paralimpik pada Selasa.

Kejohanan Paralimpik dibuka pada 24 Ogos, dengan kira-kira 4,400 atlet dari 160 pasukan mengambil bahagian.

Acara mereka bermula dua minggu selepas Olimpik Tokyo berakhir, dengan penganjur berkata mereka dapat mencegah penularan besar jangkitan menerusi langkah ketat anti virus.

Setakat ini, 546 kes positif berkaitan dengan Olimpik dilaporkan.

Sejak akhir-akhir ini, Jepun melaporkan lebih 20,000 kes jangkitan harian, lebih tinggi berbanding sebelum ini, dan kerajaan melanjutkan perintah sekatan pergerakan ke 13 wilayah hingga 12 September.

Ia termasuk waktu operasi restoran dan bar dihadkan dan larangan menjual alkohol. – AFP, 19 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen