Kedah isytihar Yan, Kuala Muda kawasan bencana Tahap 1


Kalidevi Mogan Kumarappa

KERAJAAN negeri Kedah mengisytiharkan daerah Yan dan Kuala Muda sebagai kawasan bencana Tahap 1 ekoran fenomena kepala air dan banjir besar yang melanda kawasan tersebut semalam.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata perisytiharan itu bagi memastikan semua agensi dan badan berkanun dapat mengambil tindakan mengurus operasi bencana.

Perisytiharan itu dibuat mengikut Arahan Tetap Majlis Keselamatan Negara (MKN) No 20, katanya dalam satu kenyataan.

Dengan perintah itu juga, pihak swasta dan badan sukarela akan dapat diberikan latihan yang mencukupi bawah penyelarasan MKN, katanya.

Beliau turut merakamkan rasa dukacita atas tragedi itu yang meragut tiga nyawa setakat ini di sekitar kaki Gunung Jerai.

“Saya bagi pihak pimpinan kerajaan negeri dan pegawai-pegawai tadbir mengucapkan takziah dan berkongsi rasa sedih yang amat mendalam dengan setiap keluarga yang kehilangan insan tersayang dalam kejadian itu,” katanya.

Dalam satu kenyataan lebih awal beliau mengumumkan identiti salah seorang lelaki yang maut dalam kejadian tersebut.

“Ketiga-tiga mangsa yang maut adalah lelaki, dengan satu mangsa ditemui di tanah runtuh jalan naik ke Gunung Jerai dan dikenal pasti sebagai Shahruzi Mohamad, berumur 53 tahun.

“Jenazah sudah diturunkan dan operasi mencari dan menyelamat akan disambung lagi kemudian,” katanya.

Beliau mengumumkan tiga lagi mangsa dipercayai masih hilang di satu kawasan di Titi Hayun dalam kejadian banjir yang berlaku sejak jam 5 petang.

Banjir besar itu tertumpu di kawasan di kaki gunung dan kawasan berhampiran sungai, antaranya Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat dan Kampung Lubuk Boi.

Turut terjejas Pekan Yan Besar, Titi Teras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi. – 19 Ogos, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen