Aktivis kait kuari, pembersihan hutan punca banjir besar di Yan


Kalidevi Mogan Kumarappa

Aktivis mendakwa fenomena kepala air di Gunung Jerai dan banjir besar di Yan berpunca daripada gangguan ekosistem di kawasan itu. – Gambar Facebook, 19 Ogos, 2021.

AKTIVIS alam sekitar mendakwa fenomena kepala air di Gunung Jerai dan banjir besar di sekitar Yan, Kedah semalam berpunca daripada pembersihan hutan dan projek kuari di gunung itu.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa demikian dengan mengaitkan lumpur yang dapat dilihat dalam rakaman video bencana tersebut.

Presiden SAM Meenakshi Raman dan Presiden CAP Mohideen Abdul Kader mendakwa ia kejadian berpunca dari tindakan mengganggu ekosistem di kawasan itu.

“Video dan gambar yang kami lihat sangat mengerikan. Lumpur yang datang dari Mukim Singkir menandakan terdapat pembangunan besar berlaku di kawasan itu.

“Air banjir takkan berwarna lumpur kalau tiada penebangan pokok dan pembersihan tanah dilakukan sewenang-wenangnya.

“Jika kawasan itu berhutan, takkan dapat (air banjir berwarna) ‘teh tarik’. Ini adalah isyarat daripada alam sekitar,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Kumpulan tersebut sudahpun menjangka bencana berkenaan akan berlaku sewaktu membantah projek kuari di kawasan hutan simpan berkenaan dan kini mengesan banyak pokok ditebang di situ.

“Kumpulan aktivis bersama penduduk Bukit Singkir, Yan sudah membuat bantahan terhadap projek kuari Di kawasan hutan simpan Gunung Jerai sejak 15 tahun lalu.

“Namun projek ini diluluskan kerajaan negeri meskipun menjejaskan Projek Struktur Yan.

“Imej dari Google turut membuktikan banyak pokok sudah ditebang dan aktiviti perlombongan dijalankan di kawasan yang sensitif ini,” kata kumpulan itu dalam kenyataannya.

Menurut mereka, bantahan ke atas kuari tanah itu dikemukakan ke mahkamah beberapa tahun lalu tetapi keputusan mahkamah tidak memihak kepada mereka.

Kumpulan itu seterusnya menuntut agar audit ke atas pembersihan tanah di daerah itu didedahkan kepada umum.

“Semua kegiatan pembangunan di daerah itu harus dihentikan sementara untuk menyemak kepatuhan terhadap rancangan pembangunan daerah Yan,” katanya.

Dakwaan mengenai penebangan pokok di Gunung Jerai itu sebagai punca fenomena kepala air dan banjir besar dinafikan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Dalam taklimat awal kepada media mengenai situasi banjir itu, Sanusi semalam mengakui aliran air berpunca dari hutan simpan Gunung Jerai.

Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan yang tular di laman sosial bahawa banjir melibatkan beberapa kawasan kampung dan taman perumahan itu disebabkan aktiviti pembalakan.

Sanusi berkata, fenomena kepala air itu ekoran hujan lebat berterusan di kawasan Gunung Jerai mengakibatkan air mengalir laju turun ke kaki gunung dan memecahkan tebing sungai.

Pasukan penyelamat hari ini masih berusaha mencari tiga mangsa hilang di sekitar kawasan Titi Hayun.

Tiga lagi ditemumi maut di beberapa lokadi sekitar Gunung Jerai di Yan pada malam tadi.

Penduduk yang sedang menjalani kuarantin Covid-19 terpaksa ditempatkan di tempat lain. Seramai 14 lagi mangsa yang positif Covid-19 turut dipindahkan.

Setakat operasi 1 pagi, tiga mangsa ditemui maut di beberapa lokasi di sekitar kawasan Gunung Jerai di Yan, manakala tiga lagi mangsa dipercayai masih hilang di satu kawasan di Titi Hayun.

Operasi mencari dan menyelamat tiga mangsa hilang itu, diteruskan pada 8.30 pagi ini, kata jurucakap bomba Kedah  Mohamadul Ehsan Mohd Zain. – 19 Ogos, 2021


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen