Walau jumlahnya kecil, jualan online selamatkan pekebun, peniaga durian


Khoo Gek San

Pekebun dan peniaga durian dapat bertahan dalam pandemik Covid-19 kerana jualan secara atas talian, tetapi pendapatannya rendah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2021.

PEKEBUN dan peniaga durian dapat bertahan dalam pandemik Covid-19 kerana jualan secara atas talian, tetapi pendapatannya jauh lebih rendah, berbeza berbanding ketika sebelum pandemik di mana pelanggan membeli raja buah itu dalam jumlah besar.

Ketika musim durian hampir tamat bulan ini, peniaga berkata pelanggan mula berkurangan dan jualan secara atas talian semakin kecil, menjadikan ia tahun yang sukar bagi peniaga dan pekebun.

“Walaupun pangkalan data pelanggan kami meningkat kerana ramai mula membeli durian secara atas talian, tetapi jumlah jualan berkurangan berbanding dulu,” kata Pengarah Top Fruits Sdn Bhd Dr Tan Sue Sian.

Tan berkata syarikatnya menjual lebih 60 tan durian secara atas talian pada musim kali ini yang dijangka akan berakhir tidak lama lagi.

Seorang pelanggan membeli durian bernilai RM2,000 iaitu 30 kotak dengan berat 300kg setiap kotak dalam satu pembelian.

“Pelanggan itu berkata beliau membekukan durian untuk makan ketika di luar musim. Tetapi tidak ramai pelanggan yang begini,” kata Tan.

Ekonomi lemah dan pelanggan yang mengikat perut dalam berbelanja jelas kelihatan dengan pengurangan dalam pembelian buah kegemaran ramai rakyat Malaysia itu, katanya.

Durian juga bukan bahan makanan yang sering ada dalam senarai barangan runcit orang ramai dan peniaga hanya dapat menikmati jualan tinggi ketika musim buah itu, kata Pengarah Urusan Dulai Fruits Enterprise Eric Chan.

“Dari Jun hingga Julai ketika hasil durian tinggi, perniagaan memang bagus, tetapi ia menurun sejak pertengahan Julai.”

Chan berkata jualan durian secara atas talian lebih baik tahun ini  berbanding tahun lalu di mana orang ramai hanya membelinya jika betul-betul teringin.

Malah tahun lalu, pembeli secara atas talian akan menunggu jika ada promosi atau tawaran diskaun sebelum membelinya.

“Tetapi tahun ini, ramai yang membeli durian untuk dijadikan hadiah kepada rakan dan keluarga, malah ada yang minta peniaga letakkan kad ucapan,” kata Chan.

Ketika musim durian tahun ini dari Jun hingga awal Ogos, Dulai Fruits menjual lebih 100 tan durian secara atas talian, katanya.

Walaupun jualan dengan cara itu dapat memberikan talian hayat kepada peniaga dan pekebun, Tan berkata kos operasi lebih tinggi berbanding kaedah tradisional iaitu meniaga di gerai tepi jalan.

Kos lebih tinggi bagi jualan atas talian meliputi pembungkusan dan kos pengangkutan.

Pengasas syarikat Durian Mama Tan Wan Ting berkata jualan atas talian memberi peluang jana pendapatan kepada ramai orang yang terjejas akibat pandemik. – Gambar The Malaysian Insight, 19 Ogos, 2021.

Kekurangan tenaga kerja untuk melakukan proses pembungkusan juga antara masalah kerana sekatan Covid-19 mengehadkan jumlah pekerja yang dibenarkan.

Bagaimanapun, pertukaran cara jualan durian kepada atas talian memberikan peluang kepada sesetengah individu yang hilang pekerjaan atau berdepan masalah kewangan kerana pandemik.

Tan Wan Ting berkata syarikat duriannya kini beralih kepada jualan secara atas talian, terus kepada pelanggan, dan tidak perlu lagi orang tengah untuk pemborong seperti ketika zaman sebelum pandemik.

Cara itu katanya, memberi peluang kerja kepada mereka yang terjejas akibat pandemik.

Sejak melakukan perubahan kaedah jualan pada Jun, syarikatnya, Durian Mama dapat memberikan kerja secara separuh masa kepada 50 individu, dan memberikan komisen kepada 200 ejennya.

Ejen yang diambil bekerja terdiri daripada golongan wanita dan ibu di mana kebanyakannya suami atau ketua keluarga kehilangan pekerjaan, kata Tan.

“Saya dapati ramai ramai dan keluarga di sekeliling saya terjejas akibat pandemik, apabila suami dan ketua keluarga tiba-tiba menganggur, sementara ada isteri yang terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang bagi menampung perbelanjaan hidup.

“Kami buat keputusan membuka peluang pekerjaan dengan mereka dan memberikan komisen. Kami harap jualan durian dapat bertambah supaya ramai lagi orang boleh dibantu,” katanya. – 20 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen