BEKAS perdana menteri Najib Razak gagal menghadirkan diri pada perbicaraan 1MDB pagi ini dengan memberikan alasan perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan sokongannya kepada perdana menteri yang baharu.
Peguam beliau, Rahmat Haslan memberitahu Hakim Colin Lawrence Sequerah yang anak guamnya kini sedang menghadiri mesyuarat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bersama ahli Parlimen Barisan Nasional yang lain.
“Pagi ini Tania (Scivetti) seharusnya melakukan soal balas. Kami menerima berita mengenai perkembangan terbaharu daripada anak guam kami bahawa malam tadi 114 ahli Parlimen dipanggil ke istana untuk mengesahkan sokongan mereka terhadap Ismail Sabri Yaacob,” kata peguam memberitahu mahkamah.
“Agong akan menemu ramah setiap ahli Parlimen seorang demi seorang dan kami tidak pasti pukul berapa giliran anak guam kami.”
Rahmat juga memberitahu hakim yang Najib dan ahli Parlimen lain akan bertolak dari PWTC ke istana pada pukul 10.30 pagi.
Namun, Hakim Sequerah tidak gembira dengan penjelasan Rahmat mengenai alasan ketidakhadiran Najib.
“Jika Agong panggil, beliau harus berada di sana dan patuh. (Tetapi) beliau sepatutnya datang ke sini terlebih dahulu.
“Anak guam anda sepatutnya beritahu saya pukul berapa beliau perlu berada di sana, dari pukul berapa hingga pukul berapa dan jika perlu, perbicaraan akan dilanjutkan selepas jam 4 petang hari ini.”
Hakim memberikan masa 10 minit kepada pasukan pembelaan untuk memaklumkan beliau bila Najib akan berada di mahkamah. – 19 Ogos, 2021.
Berita penuh di sini
Komen