ARAB Saudi melalui King Salman Humanitarian Aid and Relief Center (KSRelief) sudah menyalurkan bantuan lebih AS$3.9 bilion kepada Yaman untuk tempoh 2015 hingga 9 Ogos 2021.
Ketua Jabatan Media dan Kebudayaan Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur, Hatim Abdulkareem Al-Khyyat dalam satu kenyataan hari ini berkata bantuan itu merangkumi 615 projek terdiri daripada 12 sektor seperti kesihatan, perlindungan, pendidikan, pemakanan dan logistik.
Beliau berkata melalui KSRelief, Arab Saudi adalah antara negara paling banyak menyumbang untuk Yaman.
Hatim Abdulkareem berkata Arab Saudi amat mementingkan keselamatan dan kestabilan di Yaman serta rantau itu.
Arab Saudi serius dalam menyokong usaha politik untuk mencapai penyelesaian komprehensif dalam kalangan pihak Yaman demi mewujudkan keamanan selain menamatkan krisis dan mengurangkan penderitaan rakyat.
Namun beliau berkata, usaha ke arah inisiatif damai itu sering menemui jalan buntu kerana ditolak oleh puak Houthi yang disokong Iran.
“Arab Saudi mengutuk pembabitan puak Houthi yang dilihat menyekat akses bantuan kemanusiaan dan menekankan bahawa tindakan yang dilakukan oleh mereka, memburukkan lagi keadaan di Yaman.
“Masyarakat antarabangsa mesti mengenakan tekanan terhadap Houthi supaya membenarkan bantuan kemanusiaan diagihkan,” katanya. – Bernama, 18 Ogos, 2021.
Komen