EMPAT lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan mengoperasikan judi dalam talian di sebuah premis di Jalan Klang Lama, di Kuala Lumpur, petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfieds Supt Basri Sagoni berkata mereka yang ditangkap terdiri daripada tiga lelaki warga asing dan seorang warga tempatan berumur 27 hingga 62 tahun.
“Hasil siasatan mendapati dua lelaki warga asing ditahan adalah pekerja di premis berkenaan dan mengaku mengendalikan peranti yang digunakan untuk permainan judi dalam talian sementara seorang lagi warga asing dan seorang lelaki tempatan adalah pelanggan premis.
“Serbuan turut merampas beberapa peralatan elektronik antaranya enam komputer riba, lapan tablet, telefon bimbit dan wang tunai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semua suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk siasatan di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63. – Bernama, 18 Ogos, 2021.
Komen