COCA-COLA melancarkan kempen untuk mengutip dan mengitar semula 100% bungkusannya menjelang 2030 dalam usaha mengurangkan sisa dibuang pengguna seluruh dunia, kata syarikat itu hari ini.
Syarikat berpangkalan di Georgia itu yang memasarkan lebih daripada 500 jenis soda, jus, air dan teh juga sedang berusaha memastikan pembungkusan produknya di seluruh dunia 100% boleh dikitar semula.
“Dunia ada masalah pembungkusan-dan seperti semua syarikat, kami mempunyai tanggungjawab untuk membantu menyelesaikannya,” kata Presiden dan CEO Coca-Cola James Quincey dalam kenyataan itu.
Jenama terkenal dunia itu menggelarkan kempen terbaru “Dunia Tanpa Sisa” dan menerusinya “kami berharap melabur di planet kami dan pembungkusan kami akan membantu menjadikan perkara ini satu masalah silam,” katanya.
Menjelang 2030, syarikat itu berkata ia akan membantu mengutip setiap botol atau tin produknya yang dijual syarikat dan pengedar, pemborong dan peruncitnya.
Mereka juga sedang berusaha mengurangkan sisa dengan menggunakan sekurang-kurangnya 50% bahan boleh kitar semula di botol menjelang 2030, membangunkan plastik berasaskan tumbuhan dan mengurangkan penggunaan plastik dalam pembungkusan.
Setakat 2016, Coca-Cola mendakwa jenama itu menjual hampir dua juta minuman ringan sehari di lebih 200 buah negara. – AFP, 19 Januari, 2018.
Komen