Pengusaha spa, pusat urut kaki terima bantuan RM1,000 kata kementerian


Bantuan RM1,000 akan diberi kepada pengusaha spa dan pusat urutan kaki yang bernaung di bawah persatuan yang diiktiraf MOTAC. – Gambar Facebook, 18 Ogos, 2021.

LEBIH 400 pengusaha spa dan Pusat Urutan Kaki (PUK) disasarkan menerima bantuan kewangan RM1,000 secara one-off menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), kata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

MOTAC dalam kenyataan hari ini berkata kesemua mereka adalah pengusaha spa dan PUK yang bernaung di bawah persatuan yang diiktiraf MOTAC iaitu Persatuan Spa Malaysia (AMSPA) serta Persatuan Kesihatan dan Spa Malaysia (MAWSPA).

Pengusaha yang layak boleh memohon secara dalam talian di pautan MOTAC mulai esok sebelum permohonan ditutup pada 6 September ini.

“MOTAC menyeru semua pengusaha spa dan PUK yang layak untuk segera mengemukakan permohonan bantuan yang ditawarkan ini bagi meringankan beban yang dihadapi akibat pandemik Covid-19,” menurut kenyataan itu.

Sehingga kini, terdapat kira-kira 400 pengusaha spa bernaung di bawah AMSPA dan 269 pengusaha PUK di bawah MAWSPA. – Bernama, 18 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen