Anwar tidak hubungi GPS untuk sokongan, kata Abang Johari 


Desmond Davidson

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg enggan mendedahkan nama calon pilihan GPS untuk jawatan perdana menteri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Ogos, 2021.

KETUA Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata Anwar Ibrahim tidak menghubungi Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk mendapatkan sokongan dalam cubaannya untuk menggantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

“Tidak, beliau tidak buat,” kata Abang Johari ketika ditanya pemberita sama ada pemimpin pembangkang dari Pakatan Harapan cuba mendapatkan sokongan 18 ahli Parlimen GPS.

Terdahulu, Abang Johari mengadakan pertemuan dengan ahli Parlimen GPS di Kuching untuk memuktamadkan siapa yang akan disokong sebagai perdana menteri seterusnya bagi menggantikan Muhyidin yang meletakkan jawatan Isnin lalu selepas kerajaan Perikatan Nasional hilang majoriti di Parlimen apabila 15 ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan.

GPS pada Februari tahun lalu menolak Anwar ketika beliau meminta sokongan susulan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri selepas keruntuhan kerajaan PH runtuh.

Alasan yang diberikan Abang Johari untuk tidak menyokong Anwar ketika itu adalah GPS tidak akan menyokong sesiapa atau mana-mana kumpulan yang menjadikan DAP rakan kongsi.

Ketua menteri Sarawak juga tidak menyatakan nama calon perdana menteri yang difakskan oleh gabungan empat parti itu kepada Yang di-Pertuan Agong kerana tidak mahu mendahului baginda.

Beliau juga cuba mengelak ketika ditanya soalan yang sama oleh pemberita pagi tadi pada majlis pecah tanah pejabat syarikat utiliti air Laku di Miri.

“Kami serahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk tentukan. Kita serahkan kepada kebijaksanaan Agong,” katanya.

Bagaimana pun, Setiausaha Agung GPS Alexander Nanta Linggi dalam laporan media sebelum ini berkata GPS tiada masalah sekiranya Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob dinamakan sebagai calon perdana menteri baharu. 

Ahli Parlimen Santubong yang juga bekas menteri pembangunan usahawan dan koperasi Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini juga dilaporkan berkata GPS akan menyokong Ismail Sabri sebagai calon pilihan untuk jawatan perdana menteri. 

Empat parti dalam GPS adalah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP). 

Sementara itu, pembangkang di neger berkenaan, Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang hanya mempunyai seorang ahli Parlimen, memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Presiden Parti Warisan Sabah Mohd Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri, sekiranya Anwar tidak dipilih. 

“Rasionalnya ialah ia akan jadi kali pertama dalam sejarah Malaysia bahawa rakyat Malaysia Timur dipilih untuk menerajui negara,” kata Presiden PSB Wong Soon Koh. 

“Ini ialah peluang yang tidak boleh dilepaskan. Sekiranya rakyat Malaysia Timur menjadi perdana menteri Malaysia, ia akan memenuhi impian Sarawak dan Sabah untuk mengembalikan hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963,” tambahnya. 

Satu-satunya ahli Parlimen PSB adalah Baru Bian yang memenangi kerusi Selangau atas tiket PKR pada 2018. 

Baru dipecat dari parti kerana gagal memberikan sokongan kepada Anwar untuk menjadi perdana menteri pada krisis politik pertama Februari tahun lalu.– 18 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen