China, Asia Barat tumpu kaedah baharu perkasa kerjasama 


China komited terus berusaha bersama dengan negara Asia Barat untuk menjalinkan perkongsian dan membentuk komuniti berkongsi nasib yang lebih erat. – Gambar EPA, 18 Ogos, 2021.

CHINA dan negara Arab perlu memperluas lagi bidang kerjasama daripada sumber tenaga kepada rangkaian industri yang lebih menyeluruh dan bidang tradisional kepada industri baharu.

Selain itu kedua-dua pihak juga disaran menyelaraskan pelaksanaan rancangan pembangunan negara Asia Barat dengan pembinaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) anjuran China.

Pendapat itu disuarakan peserta Forum Kerjasama China-Asia Barat kali kedua yang diadakan di Beijing pada Selasa.

Antara peserta forum itu termasuk Utusan Khas China bagi Hal Ehwal Asia Barat, diplomat negara Asia Barat ke China, pakar dan sarjana.

Menurut para peserta, kerjasama dalam bidang kesihatan, kesalinghubungan dan pembangunan hijau perlu diperkukuhkan selain perkongsian bersifat terbuka dan inklusif perlu dijalinkan antara China dengan negara Asia Barat.

Forum itu, turut membincangkan mengenai kemajuan baharu dalam usaha sama melawan pandemik Covid-19, kerjasama dalam bidang sains, teknologi dan inovasi, pertukaran sosiobudaya serta keselamatan antara kedua-dua pihak.

Utusan Khas China bagi Hal Ehwal Asia Barat, Zhai Jun berkata, China komited terus berusaha bersama dengan negara Asia Barat untuk menjalinkan perkongsian dan membentuk komuniti berkongsi nasib yang lebih erat.

Pada 2020, China berjaya mengekalkan statusnya sebagai rakan dagang terbesar bagi negara Arab.

Kedua-dua pihak bukan sahaja melaksanakan kerjasama dalam bidang baharu termasuk bandar pintar, teknologi 5G dan rawatan jarak jauh, tetapi juga mengumumkan Inisiatif Kerjasama Keselamatan Data China-Liga Arab dalam usaha tadbir urus digital sejagat.

Di samping itu, China telah menghantar seramai 100 pakar perubatan untuk membina makmal ujian mengesan Covid-19 dan menyediakan sebanyak 176 juta dos vaksin bagi membantu negara Asia Barat memerangi wabak itu. – Bernama, 18 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen