MAHKAMAH Kemboja pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara terhadap pemimpin kesatuan lantang bersuara Rong Chhun selama dua tahun atas tuduhan menghasut yang berkaitan dengan komen mengenai sempadan negara, kata aktivis.
Rong Chhun, pemimpin Gabungan Kesatuan Pekerja Kemboja, ditangkap pada Julai tahun lalu selepas menuduh tindakan “tidak kena” kerajaan berhubung pembahagian sempadan timur dengan Vietnam.
Proses persempadanan Kemboja-Vietnam menjadi kontroversi sejak bertahun lamanya, didorong oleh sentimen anti-Vietnam yang kuat dalam kerajaan.
Rong Chhun, yang berada dalam tahanan sebelum perbicaraan sejak penangkapannya berkata garis sempadan baharu yang dipersetujui menceroboh tanah pertanian beberapa penduduk tempatan.
Pada Rabu, pemimpin kesatuan terkemuka itu didapati bersalah atas tuduhan menghasut oleh Mahkamah Perbandaran Phnom Penh dan dijatuhi hukuman dua tahun penjara, kata Hakim Li Sokha semasa perbicaraan ringkas yang dihadiri oleh beberapa diplomat antarabangsa.
Dua aktivis lain, yang ditangkap semasa tunjuk perasaan menuntut pembebasannya, masing-masing dihukum penjara 20 bulan.
Hakim juga memerintahkan mereka membayar $100,000 kepada jawatankuasa sempadan kerajaan.
“Sangat mengecewakan. Ini adalah hukuman serius, dan keputusan itu tidak memberi keadilan kepada ketiga-tiga anak guam saya,” kata peguam Sam Sokong dan menambah Rong Chhun akan mengajukan rayuan berhubung keputusan tersebut.
Rong Chhun menafikan tuduhan terhadapnya semasa perbicaraan pada Januari, dan penyokongnya membantah keputusan mahkamah pada Rabu.
“Keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap Rong Chhun hari ini adalah ancaman bagi generasi muda ... untuk berhenti memikirkan masalah dan isu sosial negara,” kata Ouk Chhayavy, presiden Persatuan Guru Bebas Kemboja, kepada wartawan di luar mahkamah.
Ahli politik pembangkang sekian lama menuduh orang kuat perdana menteri Hun Sen menyerahkan wilayah kepada Vietnam, menegaskan isu sempadan meningkatkan sentimen nasionalis terhadapnya. – AFP, 18 Ogos, 2021.
Komen