SEORANG remaja Iran pada Jumaat mengaku tak bersalah atas dakwaan menjadi dalang cubaan mengebom stesyen kereta api London tahun lepas yang menyebabkan 30 orang cedera.
Ahmed Hassan, 18, berdepan dakwaan cubaan membunuh dan menyebabkan letupan dalam serangan stesyen Parsons Green pada 15 September lalu.
Hassan menghadiri perbicaraan mahkamah menerusi siaran langsung video dari penjara.
Letupan itu yang berlaku ketika waktu puncak menyebabkan ramai mangsa melecur, dan puluhan lagi cedera selepas panik menyebabkan mereka berhimpit-himpit keluar daripada stesyen kereta api London yang sesak itu.
Tiga puluh orang dirawat dihospital kerana letupan. Menurut pihak berkuasa, kegagalan bahan letupan itu meletup sepenuhnya menyebabkan jumlah mangsa kurang, ia mungkin membunuh ramai orang jika ia berjaya diletupkan sepenuhnya.
Bahan itu diletakan dalam bag plastik dan mengandungi ratusan gram bahan letupan, serta alatan besi tajam seperti pemutar skru dan pisau, kata pendakwa raya pada pendengaran awal itu.
Letupan di Parsons Green, sebuah kawasan kejiranan mewah adalah serangan kelima pengganas di Britain dalam tempoh enam bulan.
Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS) mengaku bertanggungjawab.
Hassan ditahan sehari selepas letupan apabila dia dikesan seorang pegawai polis di pelabuhan Dover.
Dia tinggal di Surrey, selatan London dan mengatakan ibu bapanya sudah terbunuh di Iraq.
Perbicaraan dijadualkan berlangsung selama dua minggu bermula pada 5 Mac depan selepas pendengaran kedua pada 23 Febuari nanti. – AFP, 19 Januari, 2018.
Komen