BEBERAPA jam setelah Taliban menguasai kampung halamannya di utara Afghanistan minggu lalu, Abdullah yang berusia 17 tahun dipaksa membawa bom roket ke sebuah bukit berhampiran sebagai salah satu taktik kumpulan pemberontak itu merekrut pemuda.
Abdullah berkata dia sedang berada di jalanan di Kunduz ketika anggota Taliban menghampirinya.
Pemberontak turut menculik 30 hingga 40 pemuda lain, sebahagian mereka kanak-kanak berusia 14 tahun, dari sebuah madrasah, katanya.
“Mereka minta kami angkat senjata dan bergabung dengan mereka,” kata Abdullah. “Dan bila ibu bapa kami datang minta bebaskan kami, mereka ancam dengan senjata.”
Taliban menguasai negara itu secara keseluruhan pada Ahad susulan serangan kilat yang sebahagiannya dibantu pemuda yang bersekongkol seperti Abdullah.
Abdullah berkata, pemberontak mengantung beg RPG seberat 20 kilogram di belakangnya, memaksa dia pegang kotak peluru.
Tindakan itu bertahan selama tiga jam sebelum ahli keluarganya berjaya berunding membebaskannya.
Tetapi ketika mereka bersiap tinggalkan Taliban, pemberontak kembali lagi.
“Mereka pukul kami. Saya masih ada kesan parut,” katanya.
Sejam kemudian, Abdulah berkata dia diberi senjata dan dipaksa menyerang polis.
“Saya takut, saya tidak dapat pegang senjata saya,” kata Abdullah, wajahnya merah dengan jerawat remaja.
Pasukan keselamatan Afghanistan menyerang balas.
“Tiga atau empat kanak-kanak lelaki yang membawa senjata dipukul dan mati selepas beg mereka meletup,” kata Abdullah.
“Seorang pejuang Taliban terbunuh, yang lain kehilangan kaki dan tangan.” – AFP, 18 Ogos, 2021.
Komen