Kekalkan momentum vaksinasi, buka ekonomi berperingkat


KABINET yang akan dibentuk selepas pelantikan seorang perdana menteri baharu haruslah mengekalkan momentum vaksinasi sedia ada di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). 

Ini bagi membolehkan sasaran 80 peratus populasi dewasa lengkap menerima suntikan vaksin dapat dicapai pada Oktober ini, seterusnya membuka semula sektor ekonomi secara berperingkat demi kelangsungan hidup rakyat secepat mungkin.

Situasi pandemik yang meruncing telah menjejaskan ekonomi negara dengan teruk, apabila rakyat terpaksa menghadapi ancaman jangkitan virus serta kesempitan hidup secara serentak. 

Perdana Menteri baharu serta Kabinetnya perlu terus menumpukan sepenuh perhatian dalam usaha memerangi pandemik serta merangsang ekonomi, bagi melindungi nyawa dan kehidupan rakyat.

Hanya apabila sektor ekonomi dibuka secara beransur-ansur dan lebih ramai yang kembali bekerja, maka barulah masalah kehidupan kebanyakan rakyat dapat diatasi. 

Sekatan pergerakan penuh atau ‘lockdown’ yang berterusan bukanlah jalan keluarnya. Ramai pakar kesihatan telah mengingatkan bahawa rakyat perlu bersedia untuk hidup bersama Covid-19 pada masa akan datang. 

Justeru itu, kita tidak boleh melaksanakan ‘lockdown’ untuk selamanya sebagai kaedah melawan pandemik ini.

Membuka semula sektor ekonomi secara berperingkat berdasarkan kemajuan PICK merupakan pendekatan yang seimbang serta salah satu objektif utama PICK. 

Kami berharap segala usaha berkaitan dengan PICK ini tidak disia-siakan walaupun berlaku pertukaran tampuk pemerintahan negara. – 18 Ogos, 2021.

* Chan Quin Er, jurucakap MCA.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen