Penunjuk perasaan koma terkena tembakan ketika sertai protes di Bangkok


Polis antirusuhan berkawal selepas pertembungan dengan penunjuk perasaan antikerajaan semasa protes mendesak peletakan jawatan perdana menteri di ibu pejabat Polis Diraja Thailand di Bangkok, semalam. – Gambar EPA, 18 Ogos, 2021.

SEORANG lelaki dilaporkan koma selepas disyaki terkena tembakan di kepala semasa menyertai tunjuk perasaan antikerajaan di Bangkok pada Isnin.

Bagaimanapun, polis menafikan pihaknya menggunakan peluru hidup ketika menyuraikan penunjuk perasaan di Persimpangan Din Daeng. 

Dalam satu kenyataan, Hospital Rajavithi Bangkok memaklumkan, ia mendapati sebutir peluru di leher lelaki yang dikejarkan ke hospital pada malam Isnin kerana cedera terkena tembakan dan menerusi imbasan sinar-x mendapati peluru itu terlekat berhampiran otaknya.

Identiti mangsa berusia lingkungan 20-an masih belum dikenal pasti kerana dia tidak membawa sebarang kad pengenalan. Akhbar Bangkok Post melaporkan, lelaki itu kini koma dan perlu diberi alat bantuan pernafasan.

Media tempatan melaporkan, sekurang-kurangnya enam penunjuk perasaan cedera selepas bertempur dengan polis dengan tiga daripadanya cedera akibat terkena tembakan, termasuk lelaki yang belum dikenal pasti itu. Dua lagi - seorang remaja 14 tahun, didapati cedera di bahu akibat terkena tembakan.

Pada Isnin, penunjuk perasaan antikerajaan bertempur dengan polis di Persimbangan Din Daeng, dekat dengan kediaman Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha. Ini adalah pertempuran keenam yang meletus di lokasi sama sejak 7 Ogos.

Menurut satu kenyataan Biro Polis Metropolitan, mangsa ditembak di Persimbangan Din Daeng tetapi siapa yang menembaknya masih menjadi misteri.

Polis menahan 13 penunjuk perasaan termasuk lima di bawah umur ketika bantahan yang berlaku kira-kira jam 9.30 malam (waktu tempatan) Isnin itu.

 Selain itu, dua anggota polis turut dilaporkan cedera manakala empat pondok polis rosak.

Sementara itu, jurucakap Kemenerian Hal Ehwal Luar Thailand, Tanee Sangrat sekali lagi menegaskan, pihak berkuasa tidak menggunakan peluru hidup ketika mengambil langkah mengawal perusuh. 

Beliau berkata, polis turut mematuhi prosedur selaras dengan undang-undang domestik serta amalan antarabangsa.

“Hanya peluru getah dan penghadang jalan digunakan dalam sebahagian daripada operasi mengawal perusuh.

“Bagaimanapun, polis turut mengesahkan peluru hidup yang tidak diketahui milik siapa, dijumpai di lokasi kejadian. Sehubungan itu, siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, penunjuk perasaan antikerajaan kembali mengadakan bantahan menuntut Prayuth meletak jawatan kerana mendakwa kerajaan gagal menangani Covid-19 dan program vaksininasi yang perlahan. – Bernama, 18 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen