Pekerja dipaksa ambil Ivermectin boleh saman majikan, kata peguam


Bernard Saw

Ivermectin dianggap sebagai ubat ajaib bagi merawat Covid-19, walaupun terdapat sedikit bukti saintifik dan amaran KKM terhadap penggunaannya. – Gambar EPA, 18 Ogos, 2021.

MAJIKAN boleh dikenakan tindakan undang-undang jika memaksa pekerja mengambil ubat untuk haiwan, Ivermectin bagi merawat jangkitan Covid-19, kata seorang peguam.

Pekerja juga boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan jika mereka mengalami kesan sampingan, walaupun selepas menandatangani borang persetujuan mengambil ubat itu, kerana Ivermectin belum diluluskan oleh pengawal selia farmasi negara untuk digunakan bagi merawat Covid-19, kata peguam Ng Geok Chee.

“Di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA), majikan bertanggungjawab melindungi keselamatan dan kesihatan pekerja, tetapi mereka tidak boleh memaksa pekerja mengambil sebarang ubat.

“Pekerja boleh mengambil tindakan undang-undang. Di bawah undang-undang dan peraturan berkaitan kesihatan, malah jika pekerja sudah menandatangani borang persetujuan yang mengatakan majikan tidak boleh diambil tindakan undang-undang, ia tidak mengecualikan majikan daripada bertanggungjawab,” kata Ng kepada The Malaysian Insight.

Borang persetujuan yang ditandatangani dalam kes ini boleh terbatal kerana Ivermectin belum diluluskan untuk digunakan bagi merawat Covid-19 oleh pihak berkuasa kesihatan, kata Ng. 

Oleh itu, dokumen yang sudah ditandatangani boleh terbatal.

“Walaupun menandatangani borang persetujuan dan mengambil ubat tersebut dipersetujui oleh kedua-dua pihak, jika ia menyebabkan kecederaan, pekerja masih boleh saman (majikan), termasuk memfailkan aduan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) atau jabatan lain yang berkaitan.

“Atau mengemukakan saman sivil untuk mendapatkan ganti rugi atas kecederaan badan,” katanya.

Isu pekerja didakwa dipaksa mengambil ubat antiparasit yang digunakan pada haiwan diketahui selepas pengeluar kertas tisu di Subang, Selangor didakwa melakukannya. 

Syarikat itu menafikan dakwaan tersebut sementara pekerja berkaitan sudah berhenti.

Namun, di kalangan beberapa pihak, Ivermectin masih disebut-sebut sebagai ubat ajaib bagi merawat Covid-19, walaupun terdapat sedikit bukti saintifik dan amaran KKM terhadap penggunaannya.

KKM sedang mengkaji Ivermectin kepada pesakit Covid-19 berisiko tinggi dan berkata ia tidak boleh digunakan untuk merawat jangkitan koronavirus sehingga lebih banyak data tersedia.

Ng berkata sebarang ubat memerlukan kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebelum ia boleh diambil secara sah untuk tujuan diingini.

Majikan tidak mempunyai kuasa perubatan, tiada kuasa memaksa pekerja mengambil ubat yang belum diluluskan, tambah Ng.

Justeru, memaksa pekerja mengambil ubat di depan ketua adalah pelanggaran hak peribadi.

Ng berkata jika syarikat tidak memaksanya dan hanya menyediakan Ivermectin sementara pekerja menggunakannya secara sukarela, maka tanggungjawab terletak kepada pekerja.

Dakwaan sebuah syarikat memaksa pekerjanya mengambil Ivermectin bermula dengan tweet oleh pengguna media sosial, @lelakiserigala, yang menyiarkan di Twitter awal bulan ini bahawa kakaknya dipaksa mengambil Ivermectin di depan ketuamya selepas beliau didiagnos positif Covid-19. 

Menurut tangkap layar perbualan keluarga mereka, kakaknya berkata semua pekerja diarah mengambil vitamin D3, zink-complex dan Ivermectin di depan bos.

Walaupun syarikat pembuatan menafikan kejadian itu, ia masih menjadi perhatian kerana Ivermectin dipromosi sebagai rawatan terhadap Covid-19 tanpa persetujuan pihak berkuasa.

Seorang lagi peguam, Gan Peng Sieu berkata walaupun Ivermectin diluluskan oleh KKM sebagai rawatan Covid-19, ia masih tidak membenarkan majikan memaksa pekerja mengambil ubat tersebut.

“Walaupun anda diberi vitamin, anda boleh menolak. Tiada undang-undang yang memberikan kuasa tersebut. Apatah lagi Ivermectin belum diluluskan, dengan ujian klinikal belum selesai, dan KKM belum mengesahkannya sebagai berkesan dadah (terhadap Covid-19),” kata Gan. – 18 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen