SEORANG saksi hari ini memaklumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak ada rundingan antara beliau dan pendakwaan bagi membolehkan namanya dikeluarkan daripada saman dikemukakan kerajaan terhadapnya.
Bekas ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Mohd Hazem Abd Rahman, 49, membuat penafian itu semasa disoal balas peguam Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan Najib Razak membabitkan kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.
Shafee merujuk artikel sebuah portal berita dalam talian yang melaporkan 1MDB menggugurkan tindakan sivil terhadap Mohd Hazem dan enam defendan lain dalam satu daripada samannya bagi menuntut kembali AS$8 bilion.
Shafee: Pada asalnya, tindakan sivil diambil terhadap kamu dan semua anggota pengurusan kanan 1MDB. Bagaimanapun, kemudian semua nama dikeluarkan daripada saman itu.
“Saya katakan kepada kamu kamu sebenarnya amat bimbang dengan saman itu. Saya tidak menamakan sesiapa secara khusus… Kamu sebenarnya berjumpa dengan pihak pendakwaan serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berkata ‘ini tidak boleh diteruskan (tindakan sivil) kerana kamu sedang memberi keterangan yang memihak kepada pendakwaan namun pada masa yang sama, kamu disaman oleh kerajaan. Adakah kamu setuju?
Hazem: Saya tidak setuju.
Shafee: Adakah kamu tahu Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara di Parlimen mengesyorkan agar individu seperti Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas CEO 1MDB dan anggota pengurusan kanan lain disiasat?
Hazem menjawab “Tidak.”
Saksi pendakwaan ke-10 itu juga tidak bersetuju dengan cadangan beliau diberikan jaminan namanya akan dikeluarkan daripada tindakan sivil 1MDB.
Hazem turut memberi keterangan beliau tidak tahu mengapa namanya dikeluarkan daripada saman itu.
Pada 10 Mei lepas, Kementerian Kewangan mengesahkan 1MDB dan anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd memfailkan 22 saman bagi menuntut kembali asetnya yang bernilai lebih RM96.6 bilion termasuk RM300 juta daripada pelbagai pihak tempatan.
Saman itu difailkan 1MDB terhadap sembilan entiti termasuk dua institusi kewangan asing dan 25 individu manakala SRC memfailkan saman terhadap lapan entiti dan 15 individu berhubung pelbagai salah laku.
Menyentuh bonus RM2.7 juta yang diterima Hazem semasa bertugas di 1MDB, peguam itu mendakwa saksi tersebut gagal menjalankan kewajipan fidusiarinya sehingga menyebabkan situasi kewangan syarikat itu “punah begitu saja” sepanjang tempoh beliau memegang jawatan.
“Kamu kata kamu bimbang Jho Low atau Low Taek Jho adalah individu yang ‘mengawal’ 1MDB namun kamu gembira menerima bonus itu seperti dicadangkan Lembaga Pengarah.
“Lembaga Pengarah malah menilai prestasi anda sebagai ‘melepasi jangkaan.’ Bagaimana anda boleh menerima bonus itu tanpa sedikit pun berasa malu?” kata Shafee.
Sebagai respons, saksi itu berkata perkara tersebut merupakan cadangan ahli lembaga pengarah.
“Adakah saya perlu memberikan jawapannya, Yang Arif?” tanya Hazem.
Pada peringkat ini, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib membantah soalan itu dan berkata bonus yang diterima Hazem tidak relevan dengan pertuduhan terhadap Najib.
Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudian berkata isu sama ada Hazem berhak menerima wang itu atau sebaliknya diputuskan lembaga pengarah syarikat tersebut.
Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Perbicaraan bersambung esok. – Bernama, 17 Ogos, 2021.
Komen