India bawa pulang diplomat, warganya dari Kabul


Kebanyakan negara membawa keluarga warga mereka dari Kabul, Afghanistan susulan Taliban mula menawan negara itu. – Gambar EPA, 17 Ogos, 2021.

SEBUAH pesawat C-17 Tentera Udara India (IAF) menerbangkan lebih 120 rakyat India, termasuk diplomat, dari Kabul dan mendarat di Gujarat hari ini, kata seorang pegawai kerajaan.

Itu adalah penerbangan pertama yang membawa keluar rakyat dan diplomat India di tengah ketegangan yang semakin meruncing di Afghanistan selepas Taliban mengambil alih kuasa di Kabul, lapor Xinhua.

Anggota keselamatan di kedutaan dan rakyat India yang lain adalah antara yang dipindahkan.

Menurut jurucakap Kementerian Luar, Arindam Bagchi, kerajaan India memutuskan untuk memanggil pulang duta dan petugas kedutaan di Kabul.

Terdahulu,menerusi akaun Twitter Bagchi berkata berdasarkan keadaan yang berlaku, India memutuskan duta dan staf di Kabul perlu segera dibawa pulang.

Sebelum itu, Menteri Luar Dr Subrahmanyam Jaishankar turut mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken mengenai situasi terkini di Afghanistan. – Bernama, 17 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen