NEW Zealand hari ini serta merta melaksanakan sekatan kawalan pergerakan tiga hari selepas kes pertama Covid-19 yang disebarkan secara tempatan dikesan dalam tempoh enam bulan, yang disyaki varian Delta, kata Perdana Menteri Jacinda Ardern.
“Kita sudah melihat apa yang terjadi di tempat lain jika kita gagal mengatasinya. Kita hanya ada satu peluang,” kata Ardern dalam perutusan yang disiarkan di televisyen, dan menyebut varian Delta sebagai “pengubah keadaan”.
New Zealand mencatatkan kes pertama jangkitan tempatan Covid-19 selepas enam bulan bebas daripada kes baharu virus itu hingga mencetuskan usaha mengesan asal-usul jangkitan.
Jabatan kesihatan berkata kes itu dikenal pasti di Auckland, menambah kaitan antara kes dan sempadan atau pengasingan yang dikendalikan masih belum dapat dijelaskan.
Menteri hari ini bermesyuarat untuk menentukan tindakan selanjutnya terhadap kes jangkitan komuniti pertama di New Zealand sejak 28 Februari.
“Andaian alat terbaik untuk mengatasi kemungkinan penyebaran dan setiap orang di New Zealand diminta untuk kekal tenang dan memainkan peranan sementara kami mengumpulkan lebih banyak maklumat mengenai kemungkinan kes itu,” menurut jabatan itu.
Maklumat lebih lanjut mengenai kes itu tidak dikeluarkan.
New Zealand dipuji atas usaha mengekang penularan dengan hanya mencatat 26 kematian dalam populasi lima juta orang.
Namun, program vaksinasi dijalankan tidak memberangsangkan dengan hanya sekitar 20% penduduk yang diimunisasi sepenuhnya.
Auckland antara bandar yang menguatkuasakan tempoh berkurung sehingga negara itu berjaya menghentikan penularan virus Covid-19.
Pihak berkuasa memberi amaran minggu lalu berkenaan ketibaan varian Delta di New Zealand akan mencetuskan penguatkuasaan perintah berkurung yang pantas dan tegas. – AFP, 17 Ogos, 2021.
Komen