'Interim' atau 'caretaker' perdana menteri?


KENYATAAN Media Istana Negara pada 16 Ogos 2021 mengesahkan peletakan jawatan Jemaah Menteri setelah pelbagai telahan dibuat akibat isu kepercayaan ahli Dewan Rakyat kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Setelah dimaklumkan bahawa Muhyiddin diperkenankan untuk menjalankan tugas caretaker Perdana Menteri, kini topik yang mula hangat dibincangkan ialah kedudukan caretaker Perdana Menteri. 

Tidak kurang juga ada pihak yang cuba mentakrifkan istilah “caretaker” dan “interim”

Perdana menteri interim dan caretaker Perdana Menteri merupakan istilah yang kedua-duanya tiada dalam Perlembagaan, begitu juga istilah demokrasi. 

Namun begitu tidak bermakna mana-mana satu daripadanya tidak boleh digunakan kerana kesemua istilah tersebut menunjukkan  ciri-ciri yang ada dalam keadaan tertentu, begitu juga sistem yang tertakluk pada peruntukan Perlembagaan.

Penggunaan istilah interim dan caretaker pada hakikatnya merujuk situasi yang sama sahaja, iaitu suatu yang tidak tetap atau seseorang yang melaksana tugas atau fungsi kuasa suatu jawatan kerana berlaku kekosongannya dalam satu tempoh masa secara interim.

Apa yang lebih penting untuk dibahaskan ialah punca kuasa dan skop kuasa yang ada pada pelaksana suatu jawatan dan tugas yang dikatakan bersifat interim dan caretaker itu. 
Perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk Muhyiddin menjalankan tugas “caretaker” Perdana Menteri, atau istilah Perdana Menteri Interim seperti pernah diperuntukkan kepada Dr Mahathir Mohamad pada Februari 2020 diandaikan tidak dibuat di bawah Perkara 43(2)(a) kerana itu merupakan sumber kuasa pelantikan yang tertakluk pada syaratnya. 

Pastinya juga bukan di bawah perenggan (b) Perkara yang sama kerana Parlimen tidak dibubarkan ketika ini.

Jika sekiranya lantikan dibuat di bawah Perkara 43(2)(a), maka itu bukanlah suatu bersifat interim dan caretaker kerana peruntukan itu pelantikan penuh yang dibaca bersama dengan Fasal (6). 

Perkara 43(6) berbunyi: “Sebelum seseorang Menteri menjalankan fungsi jawatannya dia hendaklah mengangkat dan menandatangani di hadapan Yang di-Pertuan Agong sumpah jawatan dan sumpah setia dan juga sumpah simpan rahsia yang dinyatakan dalam Jadual Keenam”.

Pada hakikatnya pelaksanaan tugas Perdana Menteri interim dan caretaker seperti diperkenankan kepada Muhyiddin pada 16 Ogos 2021 seperti dilaporkan bertujuan sementara atau interim lantaran bersifat caretaker

Prerogatif

Jika tidak dibuat di bawah Perkara 43(2) maka punca kuasanya adalah berlandaskan prerogatif YDPA. 

Pelaksanaan tugas secara interim atau caretaker bagi pegawai awam bukanlah suatu yang luar biasa dalam masa pegawai itu tidak ada atau tidak berdaya buat sementara. 

Seksyen 33 Jadual Kesebelas Perlembagaan Persekutuan menyatakan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk membenarkan pelaksanaan tugas oleh orang atau pegawai awam lain secara interim dan tertakluk pada syarat tertentu. 

Di atas merupakan contoh lantikan interim ketika penyandang hakikinya tiada atau tidak berdaya, berbeza dengan kekosongan jawatan Perdana Menteri.

Yang di-Pertuan Agong mempunyai prerogatif untuk membolehkan tugas tertentu dilaksanakan oleh pihak lain tertakluk pada undang-undang Persekutuan bagi  maksud pelantikan di luar kerangka Perkara 43. 

Justeru, tugas caretaker Perdana Menteri hanya bersifat administratif, melainkan dikurniakan fungsi kuasa tertentu serta dalam kedua-dua keadaan itu namanya hanya bersifat dekoratif.

Dalam hal ini, pelaksana tugas Perdana Menteri  caretaker atau interim begitu terhad pada tugas administratif, tempoh dan tertakluk pada fungsi kuasa eksekutif yang diperuntukkan secara nyata oleh Yang di-Pertuan Agong. 

Sumber kuasa seperti tugas di atas boleh dikurniakan oleh Yang di-Pertuan di bawah Perkara 39 dibaca bersama prerogatif yang terpelihara pada Baginda menurut Perkara 181(1).

Begitu juga Perdana Menteri yang dilantik semasa pembubaran Parlimen di bawah Perkara 43(2)(b) yang juga bersifat interim dan caretaker. 

Sungguhpun sumber kuasa lantikannya nyata, selain daripada polisi dan keputusan yang sedia ada diputuskan sebelum pembubaran Parlimen, keputusan eksekutif dalam tempoh pembubaran Parlimen adalah tersyarat kepada persetujuan Yang di-Pertuan Agong.

Ini kerana Jemaah Menteri yang dilantik semasa pembubaran Parlimen tidak lagi merupakan ahli Majlis Parlimen yang disyaratkan di bawah Perkara 43(2)(a).

Ringkasnya, seorang yang melaksanakan tugas Perdana Menteri Interim mahupun caretaker sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43(2)(a) hanyalah menjalankan tugas administratif dan batasan fungsi kuasa yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong kerana berlaku kekosongan jawatan Perdana Menteri. 

Beliau bukanlah seorang Perdana Menteri dari sudut maksud dan tujuan tugasan itu. – 17 Ogos, 2021.

* Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik, Universiti Malaysia Pahang.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen