WARTAWAN Filipina turun ke jalanan hari ini, berarak meluahkan sokongan kepada sebuah portal berita yang sedang berdepan penutupan, menuduh Presiden Rodrigo Duterte menekan kebebasan media.
Kerajaan membatalkan pendaftaran korporat portal Rappler minggu ini dan memanggil ketua pegawai eksekutifnya menghadap untuk menjawab aduan “fitnah siber” yang disifatkan badan pemantau kebebasan media sebagai balasan atau liputan kritikalnya terhadap perang dadah Duterte.
Hampir 200 wartawan dan aktivis, kebanyakan memakai pakaian hitam berkumpul di utara Manila pada lewat petang untuk membantah keputusan kerajaan itu, dilihat oleh banyak pemerhati sebagai tindakan terbaru Duterte mendiamkan kritikan pihak yang tidak bersetuju dengan operasi banteras dadahnya.
Pembantah membawa sepanduk berbunyi “lawan diktator Duterte” dan “pertahan kebebasan media”.
Jurucakap Duterte, Harry Roque dalam satu kenyataan mengatakan bantahan itu sendiri menunjukkan “kebebasan dan demokrasi hidup di Filipina”.
Rappler diasaskan pada 2012 adalah antara sebilangan kecil organisasi berita Filipina yang menerbitkan laporan kritikal tentang “peperangan dadah” Duterte yang didakwa kerajaan sudah menyebabkan 4,000 suspek dibunuh.
Kumpulan hak asasi mendakwa ribuan lagi dibunuh oleh pihak tidak dikenali.
Pihak berkuasa kerajaan mendakwa organisasi berita itu melanggar halangan berpelembangaan tentang pemilikan media tempatan oleh entiti asing apabila syarikat induknya mengeluarkan notis pemberitahuan mengenai saham Rappler yang dijual kepada dana asing.
Rappler menegaskan yang pelaburan itu tidak bermakna penjualan ekuiti dan pelabur tidak mempunyai suara dalam menentukan kandungannya dan berikrar menentang penghakiman yang dikeluarkan Isnin lalu. Penghakiman itu akan berkuatkuasa selepas 15 hari.
Rappler mempunyai hubungan keruh dengan Duterte sejak beliau menang pilihan raya menggunakan isu anti jenayah pada 2016.
Tahun lepas Duterte mengugut untuk mendedahkan “pemilikan Amerika” portal itu.
Duterte juga secara terbuka mengecam media yang mengkritik dasarnya termasuklah media utama negara itu, Philippine Daily Inquirer dan syarikat penyiaran ABS-CBN mengugut tidak memperbaharui lessen penyiaran franchisnya.
Selain kehilangan lesen, Ketua Eksekutif Rappler Maria Ressa juga berdepan cabaran lain apabila diminta menghadap kementerian kehakiman minggu depan bagi menjawab pertuduhan mengenai jenayah siber ke atasnya.
Dakwaan itu difailkan ahli perniagaan yang menuduh Rappler melakukan fitnah pada 2012 kerana melaporkan dia memberi sewa sebuah van mewah kepada bekas Ketua Hakim Mahkamah Agung Renato Corona yang sudah disingkirkan kerana gagal mengisytiharkan harta.
Ressa berkata dakwaan ke atas Rapple adalah “serkap jarang” pihak berkuasa untuk mencari apa sahaja asas kes undang-undang untuk menyerang portal itu.
“Undang-undang pentadbiran digunakan untuk mencekik Rappler, wartawan dan kebebasan media,” katanya kepada AFP.
“Matlamat akhir adalah untuk menakut-nakutkan kita supaya kita (media) diam.” – AFP, 19 Januari, 2018.
Komen